Thursday, November 03, 2011

Sinopsis Novel 'Cinta Rahsia'

"Cinta tak perlu dicari kerna ia tersisip di lipatan hati"

Sinopsis oleh : aznanie

Ayu Kartika, seorang gadis yatim piatu setelah kematian ibu dan ayahnya. Rumah peninggalan arwah ayahnya juga di ambil oleh abang arwah ayahnya. Dia sedih. Kesal dengan sikap pak longnya yang tamak itu.

Berbekalkan kelulusan dari Leeds University, Uk, Ayu Kartika memohon kerja di Global Creative. Di situlah dia bertemu Adam Zabidi. Adam Zabidi merupakan ceo di syarikat itu. Pandang pertama membenihkan bibit-bibit cinta antara mereka. Walaupun tahu yang Adam Zabidi telah bertunang dengan Farah Aina, pelakon terkenal, namun itu tidak dapat menghalang dari tumbuhnya rasa cinta diantara keduanya. Adam bertunang dengan Farah Aina kerana dipaksa oleh ibunya, Salbiah. Dia tidak mahu membantah sebelum ini kerana sayangkan ibunya. Tetapi setelah berjumpa dengan Ayu Kartika, perasaannya terus diamuk panahan cinta.

Keintiman dan kemesraan mereka dapat di hidu oleh Farah Aina yang mengupah penyiasat untuk mengintip Adam. Terbakar perasaannya apabila dia mendapat tahu yang Adam curang kepadanya. Dia memberitahu Salbiah akan perkara itu. Dia dan bakal mertuanya, Salbiah menyerang Ayu Kartika di Global Creative semasa ketiadaan Adam di pejabat. Adam di suruh mengambil adiknya, Hairil di airport. Hairil menuntut di Leeds University iaitu university yang sama dengan Ayu Kartika.

Seminggu sebelum berlangsungnya pernikahan Adam dengan Farah Aina, Adam bertindak membatalkan majlis pernikahan tersebut. Dia menjejaki Ayu Kartika yang membawa diri ke Cherating. Salbiah tidak dapat menerima keputusan Adam dan mengalami tekanan perasaan. Malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang, Adam ditimpa kemalangan yang menyebabkan Adam lumpuh.

Ayu Kartika berusaha mencari pakar yang dapat membantu Adam. Dia mengiklankan dalam surat khabar mengenai pencarian pakar saraf yang dapat membantu Adam. Farah Aina berasa tercabar dengan perbuatan Ayu Kartika itu. Dia merasakan kedudukannya di sisi Adam akan tergugat dengan tindakan Ayu Kartika itu dan lebih mengejutkannya, Hairil bertindak mempertahankan tindakan Ayu Kartika itu. Dia berasa geram kerana Hairil seakan mahu mendekati Ayu Kartika, sedangkan dahulu Hairil pernah menjadi kekasihnya.

Tidak disangka, Ayu Kartika di serang di rumahnya. Dia dipukul dengan benda keras di kepalanya sehingga dia pengsan. Mujur kakak angkatnya, Suraya pulang ke rumah mereka tepat pada masanya. Ayu Kartika kebingungan. Dia tidak tahu siapa yang melakukannya begitu dan siapakan yang bermusuh dengannya. Suraya berpendapat ini semua perbuatan Farah Aina. Ayu Kartika tertanya-tanya betulkah Farah Aina. Tegakah Farah Aina melakukan perbuatan kejam begitu.

Kedatangan Maisarah tidak di duga oleh Dr.Zabidi. Maisarah kekasih lamanya. Hatinya begitu merindui wanita ini. Maisarah berniat untuk membantu Adam. Kerana dirasakan Daniel mampu membantu Adam dengan kepakaran yang dimilikinya. Yang menjadi masalahnya adalah Daniel Hakimi tidak mahu pulang ke Malaysia. Dia perlukan bantuan Dr.Zabidi untuk memujuk Daniel. Dr.Zabidi menyarankan supaya Maisarah berjumpa dengan Ayu Kartika. Dia yakin Ayu Kartika dapat memujuk Daniel balik ke Malaysia untuk membantu Adam.

Suatu hari sedang Ayu Kartika memandu untuk pulang, keretanya dihimpit oleh sebuah kereta lain. Keretanya terbabas. Melihat ada kepulan asap di bonet kereta, Ayu Kartika bergegas melarikan diri dari situ dan tanpa disedarinya, tubuhnya direntap dan kepalanya di hentakk dengan benda keras. Ayu Kartika rebah di situ dan tidak sedarkan diri. Nasib baik dia diberi bantuan oleh Maisarah yang kebetulan lalu di situ. Akibat dari kejadian itu, kakinya terpaksa disimen. Sebulan dia diberi cuti sakit. Segala keterangan dan bahan bukti telah diberi kepada pihak polis.

Hairil mengambil kesempatan di atas ketidakupayaan Adam. Dengan helah untuk membantu syarikat milik abangnya, Hairil pura-pura berminat untuk menjadi penganti Adam buat sementara waktu. Sedangkan hakikat sebenarnya dia hanya mahu memikat Ayu Kartika.

Berita perkahwinan Adam bersama Farah Aina sampai juga ke pengetahuan Ayu Kartika. Sedihnya bukan kepalang. Dia tidak tahu kenapa Adam bersetuju dengan rencana ibunya, Salbiah. Sebenarnya, Adam sudah berputus asa dengan hidupnya. Dia tidak mahu Ayu Kartika merana lagi. Dia tidak mahu menjadi beban kepada Ayu Kartika. Dirinya dirasakan tidak berguna lagi. Entahkan sembuh entahkan tidak.

Hairil mulai bosan kerana Farah Aina sudah tiada untuk melayannya. Ayu Kartika bukan jenis gadis yang senang untuk diusung ke hulu ke hilir. Tiba-tiba Hairil teringatkan Kay, penyambut tetamu di syarikat abangnya, Adam. Dengan sekali ajakan, Kamalia, terus menerima pelawaannya. Tanpa disedarinya, hubungan mereka terus menjadi intim tetapi mereka pandai mengawalnya, hanya di luar pejabat sahaja mereka menunjukkan kemesraan. Bila di pejabat hubungan mereka hanyalah sebagai majikan dan pekerja sahaja.

Ayu Kartika tetap dengan keputusannya untuk ke Florida. Meskipun Dr.Zabidi telah menyuruhnya supaya membatalkan hasratnya memujuk Daniel pulang ke Malaysia. Tetapi Ayu Kartika berdegil untuk terus membantu Adam. Dia mahu melihat Adam dapat berjalan kembali, walaupun dia tahu, Adam sudah menjadi suami Farah Aina.

Kepulangan Ayu Kartika bersama Maisarah dan Daniel dinanti oleh Dr.Zabidi dan Adam. Namun bila terpandang Ayu Kartika di sisi saintis muda itu, hati Adam diburu cemburu namun dia terpaksa merelakan mengenangkan siapalah dia di sisi Ayu Kartika lagi. Dia sedar siapa dirinya saat ini.

Pembedahan memasukkan cip mikro di dalam otak Adam selamat dilakukan. Kini tinggal usaha Adam untuk berjuang bagi melawan penyakitnya. Namun, Adam cepat putus asa. Dia tidak mahu berusaha keras. Cepat mengalah. Itu yang merungsingkan Daniel. Sia-sia sahaja usahanya membantu Adam kalau Adam sendiri tidak mahu membantu dirinya sendiri. Daniel berhasrat untuk kembali ke Florida.

Hairil berasa marah dan bengang. Kereta kesayangannya di kerjakan seseorang. Cermin kereta dipecahkan, tayar di curi dan badan kereta di pukul dengan objek keras. CCTV yang dipasang di tempat letak kereta pun tidak menampakkan sebarang objek mencurigakan kerana kereta Hairil terlindung dari pandangan CCTV itu. Hairil membuat tanggapan bahawa Kay yang melakukan semua kerja itu. Dia beranggapan begitu kerana keengganannya bertanggungjawab di atas kehamilan Kay. Namun semuanya dinafikan oleh Kay.

Tak tahu bila, perasaan cinta mulai tumbuh dalam diri Daniel buat gadis yang bernama Ayu Kartika. Dia tidak tahu bagaimana untuk meluahkan rasa cintanya. Dan sebenarnya Ayu Kartika juga telah mulai menyayangi Daniel. Tetapi semuanya dipendam dalam hati. Maisarah yang memahami gelodak keduanya amat bersyukur kepada ILAHI. Semoga perhubungan mereka berdua dapat diteruskan walaupun Daniel sudah kembali ke Florida.

Kerana keengganan Hairil untuk bertanggungjawab ke atas Kay, Lokman mengambil langkah untuk mencari siapa bapa anak yang dikandung Kay. Pencariannya amat susah kerana Kay tidak mahu menyatakan siapa lelaki yang menghamilkan dirinya. Di atas bantuan Sherry, akhirnya Lokman berjaya mencari lelaki yang menghamilkan adiknya, Kay. Alangkah terperanjatnya Lokman apabila mendapat tahu yang Hairil adalah orang yang bertanggungjawab membuat adiknya, Kay mengandung. Hasratnya untuk berbincang secara baik-baik tidak diendahkan oleh Hairil. Akibatnya, Hairil di belasah oleh Lokman dalam usaha untuk memaksa Hairil berkahwin dengan adiknya, Kay.

Di atas tindakannya itu, Lokman di tahan polis di atas tuduhan mencederakan dengan niat. Manakala Hairil dimasukkan ke ICU kerana kecederaan parah di rusuk kanan dan buah pinggangnya. Berbagai-bagai spakulasi timbul dari berita itu. Ada yang menyatakan Ayu Kartika terlibat sama dalam pergaduhan itu. Suatu berita yang tak berasas sama sekali.

Farah Aina menyembunyikan diri di Pulau Pangkor kerana bimbang akan ditangkap kerana menyebabkan kemalangan ngeri. Dia bernasib baik kerana dapat melepaskan diri dari kemalangan itu. Sekembalinya dia ke rumahnya, dia mendapati orang gaji dan pemandu ibunya telah dibunuh. Dia mendapatkan bantuan pihak polis untuk melihat keadaan rumahnya. Ibunya tidak ditemui. Tetapi setelah diperiksa dengan teliti oleh pihak polis, mereka menjumpai mayat ibu Farah Aina di dalam boot kereta. Farah Aina meraung sekuat hatinya.

Dr.Zabidi telah membuat keputusan untuk memaksa Hairil mengahwini Kay namun Kay tidak mahu mengahwini Hairil. Dia mahukan Adam sebagai suaminya kerana dia tahu Adam adalah seorang lelaki yang baik. Dia mahukan anaknya nanti dibinkan kepada nama Adam. Ibunya, Salbiah menentang usul suaminya itu tetapi dia tak nampak cara lain untuk menyelesaikan masalah itu. Tetapi dia memang tidak mahukan Hairil mengahwini Kay. Tiba-tiba dia menyuarakan hasrat untuk menjodohkan Hairil dengan Ayu Kartika. Hairil berlonjak kesukaan kerana hajatnya memang mahu memperisterikan Ayu Kartika.

Ayu berasa sedih dengan penerimaan Adam terhadap Kay. Dia tidak menyangka Adam bersetuju sahaja dengan usul Dr.Zabidi untuk mengahwini Kay supaya anaknya nanti berbinkan namanya. Tiada nilaikah cintainya di mata Adam. Ayu kartika berasa dirinya sudah tiada tempat di hati Adam. Dan apabila Hairil memberitahunya yang dia akan menarik balik dakwaannya terhadap Lokman jikalau Ayu Kartika berkahwin dengannya, Ayu Kartika berasa dirinya dianggap barang dagangan yang boleh di tolak tarik oleh mereka berdua beradik itu.

Saat hati mahu berlabuh di hati Daniel, sesuatu telah menghalangnya. Kehadiran Isabella yang mengakui dirinya adalah tunangan Daniel telah membuat Ayu Kartika rasa terbuang. Daniel yang tidak mengerti berasakan sikap Ayu Kartika terhadapnya sungguh berbeza dari Ayu yang dikenalinya dulu. Maisarah cuba menyiasat apa punca yang menyebabkan Ayu Kartika seakan-akan menjauhkan diri dari Daniel. Fahamlah kini yang Ayu Kartika sudah mengetahui hubungan Isabella dengan Daniel.

Ayu Kartika terkesima apabila dia mendengar pengakuan ibu Adam, Salbiah yang dirinyalah yang mengupah orang supaya membunuh Ayu kerana dia menggangap Ayu sebagai penghalang kepada Farah Aina untuk mendapatkan Adam dan kerana Ayu lah Adam mendapat kemalangan. Dia kini menyesal dan memohon supaya Ayu memaafkan dirinya.

Rancangan Kay untuk menghapuskan Farah Aina, Hairil dan Salbiah berjalan mengikut kemahuannya. Dia sengaja memberitahu Farah Aina mengenai pembunuh upahan Hairil. Dia mahu menghapuskan semua yang menjadi penghalang untuknya mendapatkan Adam.

Farah Aina bersemuka dengan Hairil untuk meminta kepastian samada betul ke Hairil dan ibunya, Salbiah terlibat dalam pembunuhan ibunya. Tetapi dinafikan oleh Hairil. Farah Aina tidak mempercayai Hairil kerana Hairil sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh Adam. Hairil mengupah Nathan untuk mengosongkan minyak brek kereta Adam sewaktu Adam ke Cherating dulu.

Kerana kebijaksanaan Hairil memutar belit kenyataan, Farah Aina termakan kata-katanya.  Setelah Farah Aina menyerahkan cek bernilai Rm 50,000.00 sebagai imbuhan supaya Hairil mencari pembunuh ibunya, Hairil memasukkan pil khayal di minumannya dan mencampakkan Farah Aina ke dalam laut. Dan bila tubuh Farah Aina tenggelam di dasar laut Hairil berasa kemenangan di pihaknya.

Pertemuan terakhirnya dengan Adam sebelum dia pulang ke kampung untuk meneruskan cita-cita arwah ayahnya untuk memajukan ladang herba milik ayahnya di kampung. Ayu berjanji untuk bertemu dengan Adam di Hyatt Saujana Subang. Sesampai di sana, Adam terus mendapatkan Ayu. Ayu menyerahkan bekas bunga rampai kegemaran Adam. Ayu memberitahu Adam yang dia mahu berhenti kerja. Adam tidak membenarkannya. Adam menghantar Ayu ke biliknya kerana Ayu bermalam di situ. Mereka melepaskan rindu masing-masing. Tiba-tiba datang seorang lelaki menikam rusuk Adam sehingga Adam terkulai rebah tidak sedarkan diri. Ayu terdorong untuk membantu. Dengan sekuat tenaganya ditarik topeng yang menutupi wajah lelaki itu dan alangkah terkejutnya dia bila melihat lelaki itu adalah Hairil. Seperti mendapat tenaga yang luar biasa, Ayu terus merampas pisau di tangan Hairil dan merodok perut Hairil bertubi-tubi. Sehingga dirinya rebah tidak sedarkan diri kerana dirinya juga sudah terkena tikaman oleh Hairil tadi.

Akibat tikaman itu, Ayu mengalami kesukaran di salur penafasanya manakala Adam paling kritikal apabila buah pinggangnya hancur akibat terkena tikaman bertubi-tubi. Daniel kembali ke Malaysia apabila mendengar berita yang menimpa Ayu dari ibunya, Maisarah. Pihak polis telah menjumpai mayat Farah Aina dan mendapat tahu yang Hairil adalah pembunuhnya.

Kay berpindah ke rumah Dr.Zabidi atas alasan mahu menjaga Kay. Kay mulai tunjuk lagak dan mengarahkan pembantu rumahnya itu dan ini. Kerana tidak berpuas hati dengan sikap pembantu rumahnya yang tidak melawan kata-katanya, Kay mengikut langkah pembantu rumah itu dan tanpa disedari dia terlanggar senduk yang berada di dalam periuk di atas dapur. Periuk itu terbalik dan menumpahkan isi nya ke atas Kay. Dr.Zabidi berusaha untuk menyelamatkan anak yang di dalam kandungan kerana Kay telah mengalami kecederaan yang parah. Anak Kay berjaya di selamatkan. Baby girl itu di letakkan di dalam inkubator. Kay masih belum sedarkan diri kerana terbakar dari paras pinggang hingga ke kaki.

Hairil bersetuju mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada Adam. Ayu yang semakin pulih sudah dibenarkan pulang. Dan yang lebih mengembirakan Ayu, Daniel sudah berjaya membuka beg arwah ayahnya. Di dalamnya terdapat geran dan surat perjanjian yang mengatakan arwah ayahnya telah membeli semua tanah-tanah milik saudara mara mereka. Ayu tidak sangka mereka begitu tamak sehingga sanggup menipunya.

Adam semakin sihat. Dia berjanji mahu menjaga Dhia dengan baik. Dia mahu melamar Ayu untuk dijadikan isteri dan ibu kepada Dhia. Tanpa disangka Isabella menemuinya. Isabella mengakui yang Daniel adalah kekasihnya dan meminta Adam membawa Ayu keluar dari hidup Daniel. Adam bersetuju dengan cadangan Isabella. Dia berbincang dengan Daniel tentang Ayu. Dia mahukan Ayu menjadi isterinya dan Daniel nampaknya seperti merelakannya.

Hairil dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Meskipun sudah mengagak keputusan mahkamah itu, Dr.Zabidi tetap bersedih. Adam melamar Ayu dengan alasan Dhia memerlukan seorang ibu seperti Ayu. Ayu buntu kerana kasihnya telah dicurahkan pada Daniel. Walaupun kini Daniel seperti menjauhkan diri darinya tetapi hatinya tetap menyayangi Daniel.

Ayu kecewa apabila mendengar berita Daniel akan berkahwin dengan Isabella. Adam pula tak habis-habis merayu supaya dia menerima lamarannya. Kay datang menuntut anaknya, Dhia. Ayu buntu dengan semua itu. Dia bagai tak percaya yang hatinya begitu dingin dengan Adam walhal Adam adalah cinta pertamanya. Kini hatinya dah kering dengan cinta Adam.

Isabella tidak dapat menerima hakikat yang Daniel tidak mahu menerima dirinya. Daniel berkeras memilih Ayu sebagai suri hidupnya. Isabella mulai mendendami Daniel dan Ayu. Dia akan pastikan Daniel menjadi miliknya suatu hari nanti.

Akhirnya, pertunangan di antara Adam dan Ayu dilangsungkan dalam upacara yang sederhana sahaja. Kay mulai memainkan peranannya. Dengan menggunakan Dhia sebagai alasan, dia menyuruh Adam datang ke menemuinya. Semenjak Kay menjaga Dhia semula, mereka kerap berhubungan. Ayu sudah menjadi lali dengan perkara itu.

Adam bergegas ke rumah Ayu setelah mendapat panggilan telefon. Ayu mengesyaki rumahnya dimasuki pencuri. Adam menyuruh Ayu bermalam di rumah Irene. Sedangkan dirinya bermalam di rumah Ayu kerana tidak larat memandu pulang ke rumahnya.

Adam ditemui mati dengan kesan tembakan jarak dekat sebanyak 10 das di kepalanya. Ayu terduduk mendengar berita itu. Dia yakin Adam menjadi mangsa kerana dirinya. Pembunuh itu tersalah bunuh. Disangka Ayu yang berada di rumah itu. Kay menuduhnya sebagai pembunuhnya.

Tanpa disangka, Dr.Zabidi telah membuat laporan polis mengenai Kay dan mencurigai Kay di atas kematian Adam. Pihak polis telah mengekori Kay dan berjumpa dengan senjata yang digunakan dalam pembunuhan Adam itu. Kay ditangkap bersama rakan subahatnya. Isabella juga terlibat sama dengan memberi wang upahan.

Daneil memujuk Ayu kembali kepadanya. Dia berjanji akan membahagiakan Ayu dan Ayu menerimanya kerana dia masih mencintai Daniel. Mereka berdoa agar selepas ini tiada lagi halangan dan rintangan dalam percintaan mereka. Tamat ...

Penulis    : Liza Zahira
Terbitan  : Alaf 21
Point      : 3/5

* Baca novel ni makan masa 2 hari .. hehe .. sebab banyak watak .. nak kena fahami betul-betul jalan ceritanya ... geram sangat dengan si Hairil tu ... jahat la sangat dia tu .. pastu geram ngan Farah Aina ... melaut betul dengan cara dia ... pastu geram dengan Kay pulak ... yang ni jahatnya sama macam Hairil tapi versi perempuan .. snaggup buat apa sahaja termasuk membunuh asalkan rancangan jahatnya berjaya .. yang menjadi mangsa Adam dan Ayu .. ingatkan sampai ke akhirnya lah Ayu ngan Adam tu .. rupanya Adam pulak mati .. si Daniel pulak couple ngan Ayu  .. hmm ... sebenarnya leh kena darah tinggi kalau terlampau menghayati sangat novel ni .. mana tak nya .. asik geram jek .. mood pun jadi tak best .. haha .. over la pulak ..  

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...