Wednesday, November 02, 2011

Sinopsis Novel 'Tanpa Mu Aku Rindu'

"Jarak dan waktu
tak mungkin jadi pemisah ... "

Sinopsis oleh : aznanie

Zuyyin Amani, asalnya adalah seorang anak yang baik dan menceriakan hari-hari mama dan ayahnya. Namun semua itu berubah apabila dia menginjak kaki ke sekolah menengah. Sikapnya berubah menjadi seorang yang sukar dikawal. Menyakiti hati dan bersikap kurang ajar pada orang tua. Tiada lagi perasaan hormat dalam dirinya.

Untuk menyedarkannya, ayahnya terpaksa mengeraskan hati menghukumnya. Malangnya hukuman yang dikenakan oleh si ayah hanya menambah kedegilannya. Dia semakin seronok melihat air mata mamanya tumpah kerananya. Dia tidak pernah memperdulikan perasaan mamanya apatah lagi ayahnya. Hidupnya hanya mahu mencari keseronokan di luar. Lepak bersama kawan-kawanya sambil menghabiskan harga milik ayahnya. Dan kawan-kawannya seronok di hulur kemewahan begitu. Mereka tidak perduli apa yang dilalui oleh Zuyyin. Janji mereka dapat enjoy dengan wang ringgit yang dihulur Zuyyin.

Kerana memprotes tindakan ayahnya mengurung dirinya dalam bilik stor tanpa diberi makanan semalam, Zuyyin mengajak kawan-kawannya berlibur di Sabah. Pemergiannya tidak diberitahu kepada sesiapa pun. Sehinggakan saat mama dan ayahnya ditimpa kemalangan dan mamanya meninggal dunia, Zuyyin tidak berkesempatan melihatnya. Yazzer yang kebuntuan di mana mahu mencari Zuyyin akhirnya membenarkan sahaja jenazah Puan Atikah disemadikan tanpa menunggu kepulangan Zuyyin.

Memandangkan tiada sesiapa yang dapat menguruskan hal keluarga Zuyyin maka, Yazzer lah yang menguruskan segalanya mentelah Tuan Ghazali masih koma di hospital. Usaha Yazzer menghubungi Zuyyin hanya sia-sia. Ternyata Zuyyin tidak pernah kisah untuk menghubungi keluarganya.

Akhirnya, usaha Yazzer menghubungi Zuyyin tanpa mengenal putus asa membuahkan hasil. Yazzer memaksa Zuyyin pulang segera. Dengan perasaan yang berdebar-debar, akhirnya Zuyyin mengikut sahaja arahan Yazzer. Dalam hatinya terkenangkan mama dan ayahnya. Dia berharap ayah dan mamanya dalam keadaan sihat sahaja.

Sesampai dirumah, Zuyyin terus mencari mamanya, namun tiada sahutan dari mamanya. Zuyyin bertanya pada Zainah, pembantu rumahnya juga merupakan ibu kepada Yazzer tetapi Zainah kelihatan enggan memberitahu apa-apa padanya.

Saat kenyataan didengar oleh telinganya, Zuyyin tidak mempercayainya. Di cari segenap pelusuk rumah, namun bayang mama dan ayahnya tiada. Zuyyin sengaja keluar rumah dan pulang jam 1 pagi dengan harapan mamanya akan memarahinya seperti selalu. Namun usahanya hanya sia-sia. Tiada lagi mamanya yang akan membebel dengan sikapnya. Dia sedih. Dia kesal kerana tidak dapat menatap wajah mamanya buat kali terakhir. Yazzer jadi kasihan padanya. Dia tidak menyangka masih ada rasa kasih sayang Zuyyin terhadap mama dan ayahnya disebalik sikapnya yang selalu membuat mama dan ayahnya menjeruk rasa.

Zuyyin dibawa tinggal di rumahnya apabila rumah milik keluarga Zuyyin disita setelah kematian ayahnya. Zuyyin rasa malu dan bersalah pada Zainah, pembantu rumahnya itu kerana sikap yang kurang ajar yang ditunjukkan dahulu. Di saat dia kesusahan hanya Zainah dan Yazzer sahaja yang sedia menerima dirinya. Sedangkan kawan-kawannya semua menghilangkan diri darinya. Zakril, kekasihnya juga berpaling kepada Erina. Zuyyin benar-benar rasa tertekan dengan sikap kawan-kawannya yang membuang dia di saat dia dilanda kesusahan. Mujur lah ada Hafizah yang sudi mendengar masalahnya. Kalau dulu, dia langsung tidak perasan akan kewujudan Hafizah tetapi sekarang ini dia begitu menghargai persahabatan yang dihulur oleh Hafizah.

Zuyyin meminta bantuan Hafizah untuk mencari kerja part time. Dia memerlukan wang untuk membayar yuran bagi semester akhirnya. Dia tidak mahu meminta dari Yazzer kerana tidak mahu menjadi beban kepada Yazzer. Cukuplah dia menumpang tinggal dan makan di rumah itu. Hafizah mengajaknya bekerja di kedai yang menjual minyak wangi. Silapnya Zuyyin terlupa untuk memberitahu Zainah akan rancangannya ini.Yazzer muncul di saat dia dikerumumi lelaki-lelaki yang hanya mahu menganggunya bukan mahu membeli barangan yang dijual. Kemarahan Yazzer sampai kekemuncak apabila Zuyyin tidak mahu mengaku salahnya. Pada mulanya Yazzer tidak mahu membenarkan Zuyyin bekerja namun setelah dipujuk oleh ibunya, Zainah akhirnya Yazzer bersetuju dengan syarat mesti bekerja di salun miliknya. Supaya senang dia mahu mengawal Zuyyin.

Perasaan sayang Yazzer semakin mengebu pada Zuyyin mentelah dia telah berjanji pada ayah Zuyyin untuk menjaga dan melindungi Zuyyin sepanjang hayatnya. Cintanya semakin mendalam pada Zuyyin namun dia tak tahu bagaimana cara untuk menyatakan pada Zuyyin. Di kuatkan semangatnya. Bila Yazzer suarakan perasaannya, pada mulanya Zuyyin menolak tetapi akhirnya menerima dan mereka melangsungkan pertunangan tidak lama selepas itu. Zuyyin meminta masa setahun untuk lebih belajar menyintai Yazzer.

Zuyyin terdengar perbualan Yazzer bersama Iskandar, iaitu peguam yang menguruskan harga peningalan ayahnya. Dia bagai tak percaya apa yang didengarnya. Zuyyin hanya mempercayai apa yang didengarinya walaupun ayat itu tidak habis dituturkan oleh Yazzer. Zuyyin tahu yang rumahnya dan harta ayahnya sebenarnya mahu dibolot oleh Yazzer. Tapi semua itu hanya anggapan Zuyyin sahaja. Puas Yazzer meminta Zuyyin mendengar penjelasannya, namun Zuyyin hanya pekakkan telinga sahaja. Dia tidak mahu tahu apa pun.

Kemunculan Sahara bagai mengoyak robokkan hati Zuyyin. Kerana perempuan inilah sikapnya berubah dulu. 14 tahun dipendam segala kesakitan seorang diri. Dia menuduh ayahnya mempunyai hubungan dengan perempuan itu. Dia menyangka ayahnya berlaku curang pada mamanya. Sebab itu lah dia berubah menjadi anak yang perengus dan selalu menyakiti hati ayahnya. Semuanya kerana dia pernah terlihat ayahnya memeluk perempuan itu dan mengendong anak kecil dahulu.

Kesal Zuyyin bukan kepalang apabila diberitahu perempuan yang dilihat bersama ayahnya dulu adalah adik bungsu ayahnya, Mak su Sahara. Mak su Sahara dilarang oleh abang long mereka supaya tidak berhubungan dengan ayah Zuyyin kerana perebutan harta. Setelah ayah Zuyyin melepaskan semua hak miliknya dan berpindah ke bandar, hubungan mereka terus putus dan ayah Zuyyin tidak lagi pulang ke kampung.

Mak su Sahara memberitahu yang dia berjumpa ayah Zuyyin untuk meminta pertolongan kerana anaknya Iman sakit jantung berlubang. Dia tidak tahu harus mengadu pada siapa, mujur lah ada ayah Zuyyin yang menolongnya. Pada hari yang sama jugak, Mak su Sahara meninggalkan Malaysia untuk menetap di Brunei.

Zuyyin bagai tak percaya pada cerita itu. Sia-sia sahaja kesakitan yang dilaluinya dulu. Ternyata dia berprasangka pada benda yang tak ada. Dia menuduh ayahnya pada sesuatu yang tidak dilakukan oleh ayahnya. Bertapa besarnya dosanya pada ayahnya. Dia malu pada Mak Su Sahara. Malu pada Zainah dan Yazzer. Malu pada dirinya sendiri.

Akhirnya segala kekusutan terlerai jua. Zuyyin telah pun diberitahu mengenai wasiat dan amanah yang ditinggalkan oleh ayah Zuyyin kepada Yazzer. Zuyyin amat berterima kasih sekali pada Yazzer kerana sanggup memikul beban yang ditinggalkan oleh ayahnya tanpa pengetahuannya. Dia juga amat berterima kasih kerana Yazzer begitu menyayanginya walaupun sikapnya kadang-kala memakan hati Yazzer. Dia yakin yang dirinya juga semakin menyayangi lelaki itu. Dan Zuyyin berdoa semoga kebahagiaan ini akan berkekalan selamanya. Tamat ...

Penulis   : Aleya Aneesa
Terbitan : Alaf 21
Point     : 4/5

*Best juga baca novel ni ... bermacam-macam perassan ada ... geram ... sedih .. suka .. tapi kebanyakkannya geram la .. geram betul dengan sikap si Zuyyin tu .. nak merengus jek .. tak fikir perasaan orang lain .. kononnya marahkan ayahnya kerana bersikap curang pada mama dia .. padahal perempuan tu mak saudara yang dia tak kenal .. dah menyesal tak sudah .. masa kaya kawan ramai menepek .. bila dah jatuh miskin .. semua kawan lari .. tinggalkan dia terkontang kanting .. mujur ada Yazzer dan Mak Nah yang sudi jaga dia .. lagi sorang tu si Hafizah tu pun sudi kawan ngan dia ... novel ni happy ending .. biasalah kan .. kalau novel yang sad ending dia cam tak best pulak ... mesti nak ending dia yang happy-happy jek .. barulah mood jadi best bila dah sampai ke akhiran cerita .. hehe 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...