Sunday, August 26, 2012

Sinopsis Cerekarama Tv3 'Di Bawah Langit Mu'

Malam tadi tak kemana-mana .. kawan en.suami datang beraya ... so, aku layan cerekarama jek la ... cite yang bertajuk Di Bawah Langit Mu ini di bintangi oleh pelakon handalan iaitu Nora Danish dan Sharnaz  Ahmad ... mantap lakonan diaorang ni ... tapi tension sikit sebab siaran asik tergendala jek .. ke tv aku jek yang kena .. dah nak ending buleh pulak tu tergendala .. hati dah gundah gulana sebab dah follow dari awal cite ... nak tahu sangat kesudahannya .. nasib baik ler siaran kembali pulih sebelum habis cite ... dapat ler tengok kesudahan cite ni ... hehe .. jadi, jom layan sinopsis cerekarama Di Bawah Langit Mu ni ....



Sinopsis oleh : aznanie

Annur, seorang gadis yang lembut, sopan santun dan cantik. Di gilai oleh semua lelaki di kampungnya. Osman tidak terkecuali. Osman seorang lelaki yang panas baran, kaki pukul dan tiada pekerjaan yang tetap. Namun begitu dia mencintai Annur. Annur pula menganggap Osman hanya sebagai seorang abang kerana mereka sudah lama menjalin hubungan sebagai adik dan abang angkat.

Osman pernah masuk meminang Annur tetapi pinangannya di tolak oleh ibu dan ayah Annur memandangkan Osman bukanlah seorang lelaki yang sesuai untuk Annur dari pandangan mata mereka. Sikap Osman yang panas baran di tambah dengan pekerjaan Osman yang tidak menentu. Osman tidak berputus asa. 2 kali pinangannya ditolak tetapi Osman masih menaruh harapan. Ibunya sudah tidak sanggup untuk menunaikan hajat Osman lagi kerana malu dengan keluarga Annur. Mentelah Annur sudah bertunang dengan lelaki pilihan keluarganya. Farid, seorang kerani bank.

Osman merasakan Annur di paksa oleh ibu dan ayahnya untuk mengahwini Farid, justeru itu dia nekad untuk masuk meminang Annur sekali lagi. Kali ini dia pergi seorang diri memandangkan ibunya tidak mahu lagi meminang Annur untuk dirinya. Ibu dan ayah Annur terkejut dengan tindakan Osman itu. Annur menerangkan perasaannya pada Osman. Dia mencintai tunangannya, Farid dan menggangap Osman hanya sebagai abangnya sahaja.

Yazid berdendam dengan Osman. Dia marah kerana Osman membuat laporan polis sewaktu dirinya mengintai dan mengambil gambar adik Osman, Lela di rumahnya. Jadi, dia memasang perangkap untuk mengenakan Osman. Yazid mencuri motosikal Osman dan diletakkan di tepi jalan. Annur yang kebetulan melalui jalan itu terkejut melihat motosikal Osman di tepi jalan dalam keadaan terbaring. Annur masuk ke dalam kebun pisang untuk melihat keadaan Osman. Sedang dia tercari-cari kelibat Osman, tiba-tiba dirinya diheret ke dalam semak samun. Annur meronta-ronta ingin melepaskan diri tetapi pelakunya iaitu Yazid lebih kuat dari dirinya. Yazid menampar Annur hingga pengsan. Dan di ketika itulah, Osman datang dan menyelamatkan Annur. Osman sempat menumbuk Yazid sebelum Yazid melarikan diri. Orang kampung mulai berkumpul di tempat motosikal Osman dan basikal Annur. Yazid yang tiba di situ telah memberitahu orang kampung ada orang berasmara di dalam semak samun itu. Orang kampung mulai menuduh Osman dan Annur melakukan perbuatan terlarang di bulan ramadhan.

Ayah Annur sangat marah dan bertindak menampar Annur. Osman cuba membela diri tetapi tidak diendahkan oleh ayah Annur dan orang kampung. Farid jugak tidak mempercayai kata-kata tunangnya, Annur. Farid menuduh Annur perempuan murahan. Ekoran dari kejadian itu, keluarga Farid bertindak memutuskan pertunangan Farid dan Annur.

Ayah Annur memaksa Osman bertanggungjawab ke atas Annur. Dia mahu Osman mengahwini Annur dan Osman yang sememangnya mencintai Annur bersetuju dengan permintaan ayah Annur itu.

Kebenaran terserlah. Yazid mengaku yang dia mengenakan Osman kerana dendamnya. Farid mulai sedar ketelanjuran diri. Dia meminta ibu dan ayahnya untuk memujuk ibu dan ayah Annur supaya pertunangan mereka di sambung kembali. Tetapi ibu Annur terasa hati dengan kata-kata ayah Farid dahulu. Dia memulangkan paku buah keras semula kepada ayah Farid. Ayah Annur yang mahukan perhubungan antara Farid dan Annur kembali terjalin tidak dapat berbuat apa-apa kerana di halang oleh isterinya. Ibu dan ayah Annur bertanya kepada Annur siapakah pilihannya. Adakah tetap memilih Osman ataupun kembali kepada Farid. Annur meminta ayahnya berjumpa Osman untuk meminta kebenaran untuknya kembali kepada Farid. Jikalau Osman membenarkan barulah Annur akan berkahwin dengan Farid tetapi jikalau ayahnya meminta Osman membatalkan perkahwinan mereka, Annur tidak akan berkahwin seumur hidupnya. Ayahnya terkelu dengan permintaan Annur itu.

Annur berjumpa dengan Osman. Osman dengan rela hati melepaskan Annur pergi kepada Farid. Dia memberitahu Annur yang dia amat sayangkan Annur dan mahu melihat Annur bahagia walaupun dia terpaksa melepaskan Annur kepada orang lain. Annur terharu dengan keikhlasan Osman itu. Akhirnya, Annur memilih untuk hidup bersama Osman. Dia yakin Osman dapat membahagiakan dirinya. Walaupun tiada cinta untuk Osman, Annur yakin cinta itu akan datang dengan sendirinya nanti.

Mereka di satukan dalam ikatan perkahwinan yang sah. Osman membawa Annur berpindah ke rumah sewanya yang terletak tidak berapa jauh dari rumah ibu dan ayah Annur. Kehidupan mereka amat bahagia. Annur di sahkan mengandung. Osman dan Annur bersyukur dan tidak sabar menunggu kelahiran anak mereka. Osman mendapat seorang pelabur untuk memulakan perniagaannya. Tetapi bila diberitahu nama kawannya, Khalid kepada ayah Annur, ayah Annur menasihatkan supaya Osman berhati-hati kerana setahunya Khalid tu seorang kaki penipu. Osman tidak mempercayai kata-kata ayah mertuanya kerana dia sudah lama mengenali Khalid.

Rupanya sangkaan ayah mertuanya betul. Khalid memang kaki penipu. Dia mengambil duit Osman dan menghilangkan diri. Silapnya Osman tidak membuat sebarang surat perjanjian dan Khalid mengambil kesempatan di atas kesilapannya itu. Osman berjumpa dengan Khalid untuk meminta kembali wangnya tetapi Khalid tidak mengendahkannya. Malah Osman telah di belasah oleh orang-orang Khalid yang merupakan samseng itu. Annur mahu Osman melaporkan hal itu kepada pihak polis tetapi Osman tidak mahu kerana dia takut Khalid mengapa-apakan Annur dan anak dalam kandungan Annur itu.

Sikap Osman mulai berubah. Tekanan yang dihadapinya memaksa dirinya menjadi ganas dan panas barannya memuncak. Annur menjadi mangsanya. Hanya kerana Annur meminjam wang dari ayahnya untuk membeli barangan dapur yang kehabisan, Annur di tampar hingga berkesan tapak tangan Osman di mukanya. Setelah melihat keadaan Annur, Osman meminta Annur memaafkan dirinya. Dia merayu-rayu umpama anak kecil dan Annur belas melihat Osman begitu. Tetapi itu hanya sementara sahaja. Annur tetap di belasah sehingga lebam-lebam seluruh anggota badannya. Annur hanya mampu berserah dan berdoa kepada ALLAH supaya Osman berubah dan kembali menyayanginya.

Kedatangan ibu mertua serta adik iparnya memecahkan tembelang Osman. Rumahtangga yang dahulunya bahagia kini ibarat neraka. Namun begitu Annur tetap menyayangi Osman. Dia meminta ibu mertua serta adik iparnya, Lela tidak memberitahu perkara tersebut kepada kedua orang tuanya. Ibu dan ayah Annur mulai mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila sudah lama Annur tidak menziarahi mereka. Namun ayah Annur menenangkan ibunya.

Pada pagi hari raya, Annur dan Osman datang ke rumah ibu dan ayah Annur. Semasa bersalaman itu, ibu Annur tidak tertahan mencurah rindunya dengan memeluk Annur tetapi Annur mengelak kerana kesakitan seluruh tubuhnya. Ayah dan ibunya mulai mengesyaki sesuatu. Ayah Annur mahu memeriksa tubuh Annur tetapi dihalang oleh Osman. Annur juga tidak mahu ibu dan ayahnya tahu rahsia yang di simpan selama ini. Osman mulai bertindak ganas apabila ibu dan ayah Annur mendesak Annur menceritakan perkara sebenar. Osman mengheret Annur dan terjadilah adegan tarik menarik antara ibu dan ayah Annur dengan Osman. Annur terseret dan terjatuh. Dia  mengerang kesakitan. Darah mulai keluar dan dia di bawa ke hospital.

Di hospital, ayahnya masih tidak puas hati dengan Osman. Ibu dan adik Osman memberitahu yang mereka tahu kejadian tersebut tetapi berdiam diri kerana kemahuan Annur. Berang ibu Annur mendengar kata-kata besannya itu. Annur selamat melahirkan seorang anak lelaki. Osman tidak datang melihat Annur. Dia berkurung diri di dalam rumahnya. Dia mencintai Annur dan mahukan yang terbaik untuk Annur tetapi dia tidak mampu berbuat demikian. Dia mulai mencari kesalahan orang lain dan kali ini dia mahu membuat perhitungan dengan Khalid. Baginya, Khalidlah punca dia keadaannya jadi begitu.

Osman membunuh Khalid dengan menggunakan penukul. Dia pulang ke rumah ibunya dengan keadaan diri berlumuran darah. Osman memohon maaf kepada ibunya. Pada adiknya, dia berpesan agar menjaga ibunya baik-baik. Di ketika itu, pihak polis datang ke rumahnya. Osman melarikan diri. Dia menuju ke rumah Annur.

Di rumah Annur, dia menyerang ayah Annur. Dia tidak sukakan ayah Annur itu.Ibu Annur bertindak meleraikan pergelutan di antara Osman dengan suaminya itu tetapi Osman menolak ibu Annur dan kepala ibu Annur terkena tiang dan berdarah, lalu ibunya rebah tidak sedarkan diri. Annur melihat ibunya rebah dan berlumuran darah. Dia pula cuba meleraikan Osman dan ayahnya tetapi tidak diendahkan oleh Osman. Annur mengambil senapang ayahnya dan mengugut Osman supaya melepaskan ayahnya tetapi Osman tidak memperdulikannya. Annur tidak ada cara lain selain melepaskan tembakan dan tembakan itu tepat mengenai perut Osman. Osman terpelanting akibat tembakan itu dan mati. Annur terduduk dan menangisi takdir yang menimpa dirinya. Tamatttt ....

Para pelakon :
Nora Danish sebagai Annur
Sharnaz Ahmad sebagai Osman
Liza Abdullah sebagai Ibu Annur
Nad Zainal sebagai Lela
Rosnah Johari sebagai Ibu Osman
Ako Musthapa sebagai Farid

* Cerita yang mantap dari segi lakonan dan jalan ceritanya .... banyak pengajaran dalam cite ni ... kesian tengok Annur ... mangsa kekejaman rumahtangga ... memang ler si Osman tu tertekan .. takkan le nak lepaskan kat isteri pulak ... tapi tu la ... si Osman tu memang ler panas baran orangnya ... tapi tak sangka pulak endingnya cam tu ... sampai kena tembak dengan isteri sendiri ... dah tak tau cam mana nak buat ngan Osman tu ... mati jek sesuai ngan orang cam tu ... wahhhh ...  emo pulak aku nih ... hehe .. apa pun memang terbaikk ler cite nih ... sukeee Nora Danish ... hehe



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...