Friday, November 02, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 8'


Arang And The Magistrate
Episod 8


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 7 ....

Gim Eun Oh tersedar dari lenanya. Dia mendapati Dol Soe tertidur di atas badannya. Dia menolak Dol Soe sehingga Dol Soe tersedar. Gim Eun Oh bertanya tentang Arang. Dol Soe memberitahu yang Arang terjatuh dari tempat yang tinggi. Mustahil untuk Arang terselamat. Tetapi dia sudah menghantar pengawal untuk mencari mayat Arang. Gim Eun Oh berkeras untuk mencari Arang. Walaupun dihalang oleh Dol Soe kerana Gim Euh Oh masih sakit dan tidak boleh bergerak lasak.

Bang Ool masih tidak berputus asa. Dia masih lagi mencuba nasibnya dia jalanan. Mencari seseorang yang sudi menilik nasib dengannya. Tetapi hampa. Dia membuka bekalannya. Dia mengeluh apabila melihat kimchi yang menjadi bekalannya. Dia tidak tahu sampai bila dia harus memakan kimchi sebagai makanan hariannya. Sedang dia mahu memasukkan kimchi ke mulutnya, dia terpandang Dol Soe yang berlari melintasinya. Tangannya terhenti. Dol Soe mendekatinya. Dia masih merasa sakit di bahagian kepalanya kerana di hentak oleh Bang Ool kemarin. Air dari kimchi yang dipegangnya, terkena tepi mulutnya. Tanpa di duga, Dol Soe telah menyapunya dengan ibu jarinya. Tiba-tiba mereka berdua tersedar dari khayalan. Mereka berdua tersentak dan Dol Soe segera melarikan diri dari situ. Dia memarahi diri dan ibu jarinya kerana bertindak sebegitu.

Gim Eun Oh pergi mencari Arang tetapi tidak berjumpa. Dia tertanya-tanya samada Arang selamat ataupun tidak. Sepatutnya Arang tidak apa-apa tetapi kemanakah Arang menghilangkan diri. Dol Soe tiba di situ. Dia mahukan Gim Eun Oh balik dan berehat sahaja. Gim Eun Oh menurut sahaja.

Di pejabat, ketiga-tiga pegawainya memberitahu yang tiada seorang pun yang datang menuntut tulang dan barangan yang digali oleh mereka itu. Gim Eun Oh memarahi penduduk kampung yang tidak pedulikan perkara yang sebegitu. Gim Eun Oh mengarahkan ketiga-tiga pegawainya itu membuat persiapan untuk membuat operasi pembersihan. Setelah Gim Eun Oh pergi, mereka berkata sesama sendiri yang penduduk kampung itu terlalu takut untuk datang menuntut kerana takutkan Lord Choe. Mereka tahu akan hukuman yang mereka akan dapat kalau pergi ke situ.

Dol Soe terdengar perbualan ketiga-tiga pegawai kerajaan itu. Barulah dia tahu keadaan sebenarnya. Dia pergi mendapatkan Gim Eun Oh. Dia melihat Gim Eun Oh sedang duduk di luar biliknya. Dia menyuruh Gim Eun Oh masuk ke dalam biliknya tetapi Gim Eun Oh tidak mahu. Dol Soe memberitahu apa yang didengarinya tadi. Patutlah tiada orang yang datang menuntut semua barangan yang digali dari lubang itu. Mereka takut pada kemarahan Lord Choe. Gim Eun Oh marah kerana orang kampung tidak peduli pada apa yang berlaku di sekeliling mereka. Dol Soe memperlinya dengan berkata dahulu sikap Gim Eun Oh juga begitu. Tidak pernah mahu peduli apa yang tidak berkaitan dengan dirinya. Gim Eun Oh hanya mengiyakan kata-kata Dol Soe itu. 


Sepanjang malam, Gim Eun Oh mundar mandir di hadapan bilik Arang. Dia teringat kata-kata Arang yang dia tidak tahu bagaimana rasanya mati kerana dia tidak pernah mengalaminya saat-saat kematian itu. Gim Eun Oh juga tidak tahu kenapa Arang mahu tersiksa sebegitu hanya kerana mahu mengetahui bagaimana cara dia mati dahulu.

Ju Wal melihat Arang lena dalam tidurnya. Dia bertanya apakah Arang itu. Kenapa Arang berada di dunia ini. Apa tujuannya berada di sini. Semuanya tidak terjawab.

Lady masuk ke tempat sulitnya di bawah tanah itu. Dia meletakkan darah pada sehelai kain dan secara tiba-tiba darah itu terukir satu mentera di atas kain itu. Lady membuka sebuah kotak dan tertera 2 bilah pedang di dalamnya. Dia meletakkan kain mentera itu di atas pemegang pedang itu. Sudah masanya untuk dia mencuba kehebatan pedang itu. Dia mengeluarkan 2 roh dari tempayan dan menyuruh roh-roh itu mencuba kehebatan pedang itu.


Seorang penjahat mahu membunuh seorang perempuan dan anaknya. Dalam usaha menyelamatkan diri, wanita itu menolak lelaki jahat itu ke tanah. Kepala lelaki jahat itu terkena tunggul kayu dan wanita itu terhempap badan lelaki jahat itu dan tertusuk pisau di dadanya. Dua-dua mati. Seketika kemudian, roh kedua-duanya keluar dari badan. Pengambil roh sudah sedia di situ. Dia mengikat keduanya dengan tali berwarna merah untuk di bawa ke Underworld. Tetapi secara tiba-tiba muncul roh suruhan Lady mencantas tali itu dan menetak roh wanita itu. Roh wanita itu ghaib. Yang mereka mahukan adalah roh lelaki jahat itu sahaja.

Muncul 2 pengambil roh yang lain menghalang perbuatan roh jahat suruhan Lady. Mereka berlawan dan kedua-dua pengambil roh itu kalah dengan roh jahat. Muncul Mu Yeong. Kehebatan Mu Yeong tidak tertanding oleh mereka. Mu Yeong berjaya membunuh salah satu roh jahat itu. Tetapi yang satu lagi berjaya melarikan diri bersama dengan roh lelaki jahat tadi. Mu Yeong melihat pedang yang di gunakan oleh roh jahat suruhan Lady itu. Dia kehairanan kerana tidak menyangka ada pedang yang dapat menewaskan pengambil roh.


Roh jahat suruhan Lady kembali ke bawah tanah tempat Lady menyimpan roh-roh yang dikawalnya. Lady bertanya adakah pengambil roh muncul. Roh jahat suruhannya itu mengangguk dan tahulah dia yang pedang itu telah berfungsi dengan baik. Dia mendekati roh lelaki jahat. Dia meletakkan tangannya di kepala roh lelaki jahat dan ia bertukar menjadi asap hitam dan kemudian asap itu masuk ke dalam tempayan.

King Yama sangat marah apabila diberitahu 2 orang pengambil rohnya sudah mati. Mu Yeong memberikan pedang yang diperolehinya dari roh jahat suruhan Lady itu. Jade Emperor mengambilnya dan melihat mentera yang tertulis di pemegang pedang itu. Jade Emperor pasti walaupun mampu menghapuskan roh, tetapi dia mahu mampu menyembunyikan kewujudan dirinya. Pasti dia terdesak sehingga melakukan perkara itu.


King Yama sangat marah. Dia menjerit untuk melepaskan kemarahannya. Jade Emperor berkata sudah lama King Yama tidak marah sebegitu. Mu Yeong meminta penjelasan dari Jade Emperor. Pada pandangannya, Jade Emperor dan King Yama mengetahui siapa pelaku yang membuat onar itu. Jade Emperor berkata siapa pun dia tidak penting. Bagaimana mahu menangkapnya itulah yang lebih penting. Mu Yeong bertanya kenapa pelaku itu tidak boleh ditangkap. Adakah kerana ianya seorang manusia. Jade Emperor berkata kenapa hari ini Mu Yeong banyak mengajukan soalan. Mu Yeong berkata selalunya Jade Emperor tidak berselindung begini. Adakah Arang terlibat dengan semua ini. Jade Emperor hanya mendiamkan diri dan berlalu pergi meninggalkan Mu Yeong dengan persoalan yang tiada jawapan.


Gim Eun Oh pergi lagi mencari Arang. Sewaktu dia keluar, ramai penduduk kampung berkumpul di hadapan pintu masuk pejabat magistrate kerana mahu berjumpa dengan Gim Eun Oh. Dol Soe bertanya kenapa mereka mahu berjumpa dengan Magistrate. Mereka menjawab kerana mereka ada permintaan untuk Magistrate. Dol Soe menegaskan yang Magistrate itu tidak berminat untuk melaksanakan tugasnya sebagai magistrate di situ. Bahkan dia tidak pernah berminat untuk mengetahui hal-hal lain selain mencari ibunya. Dol Soe kasihan kepada penduduk kampung yang berharap pada Magistrate itu.

Arang tersedar dari tidurnya. Dia mencari seseorang di rumah itu tetapi tidak berjumpa sesiapa. Dia cuba mencari hantu-hantu di rumah itu tetapi tidak berjumpa. Dia kehairanan melihat keadaan itu. Rumah itu terlalu sunyi tanpa orang mahupun hantu.

Arang berjalan di sekeliling rumah itu. Di terjumpa sebatang pokok yang bertulis seperti mentera di situ. Dia mahu memegang tulisan itu tetapi dengan tiba-tiba dia ditegur oleh Lord Choe. Lord Choe memarahinya kerana berada di situ. Lady dapat merasakan kedatangan Arang di situ. Dia dapat merasakan aura Arang di situ.


Sedang Lord Choe memarahi Arang, Ju Wal datang memberitahu yang Arang adalah tetamunya. Dia yang membawa Arang ke situ. Arang terkejut apabila mendengar Ju Wal memanggil orang tua itu ayah. Lord Choe tidak berpuas hati dan tidak mahu membenarkan Arang pergi begitu sahaja. Tetapi setelah Ju Wal mengugutnya sekiranya Lady tahu perkara itu pasti Lord Choe akan menerima hukumannya. Lord Choe teringat semasa bekas isterinya mendapat tahu tentang tempat itu, teruk Lord Choe dikerjakan Lady. Oleh sebab itu dia membiarkan Ju Wal membawa Arang pergi dari situ.

Arang mahu pulang dan dia tidak membenarkan Ju Wal menghantarnya. Sewaktu dia berpaling, dia terperasan pada pondok di tepi rumah Ju Wal itu. Dia teringat yang dia pernah pergi ke situ sewaktu mahu bertemu dengan tunang Lee Seo Rim. Dia teringat yang Gim Eun Oh pernah memberitahunya yang tunang Lee Seo Rim bernama Choe Ju Wal. Arang memandang Ju Wal dan bertanya kan namanya. Alangkah terkejutnya Arang apabila mengetahui yang lelaki di hadapannya itu adalah Choe Ju Wal. Dia bertanya samada Ju Wal pernah melihatnya sebelum ini. Ju Wal berkata kali pertama mereka bertemu semasa hari pengkebumian anak bekas Magistrate dahulu. Arang bagai tidak percaya yang Ju Wal tidak mengetahui nama tunangnya sendiri. Arang kecewa dan berlari meninggalkan Ju Wal yang kehairanan.

Gim Eun Oh pergi ke tepi sungai yang selalu di kunjungi oleh Arang sewaktu masa dahulu tetapi Arang tidak ada di situ. Gim Eun Oh buntu memikirkan ke manakah Arang pergi. Kemudian dia teringat kemungkinan  Arang pergi ke gunung di mana Arang pernah mati di situ. Setibanya di situ dia terkejut melihat keadaan di situ sudah berubah. Lubang yang digalinya dulu dan pondok di situ telah tiada. Ada orang telah menutup semua bukti yang ada. Gim Eun Oh naik angin dengan kejadian itu. Dia tahu siapa yang bertanggungjawab melakukan pekerjaan itu.


Arang berlari ke arah tepi sungai. Dia sedih sebab Ju Wal tidak mengingati dirinya. Bahkan namanya pun Ju Wal tidak tahu. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara Ju Wal. Rupanya Ju Wal mengekori dirinya ke situ. Ju Wal bimbang apabila melihat Arang tidak pergi ke pejabat Magistrate sebaliknya pergi ke tepi sungai itu. Dia mengajak Arang pulang. Sepanjang jalan Ju Wal berjalan di belakang Arang. Dia tidak mahu menyerahkan Arang kepada Lady sehingga dia tahu apa niat Lady terhadap Arang.

Ju Wal mengekori Arang sehingga Arang tiba di depan pintu pejabat Magistrate. Ju Wal memberitahu yang dia mengenali Gim Eun Oh sebelum dia mengenali Arang iaitu pada waktu terjumpa mayat Lee Seo Rim. Arang terkejut dengan kata-kata Ju Wal itu. Tiba-tiba dia terdengar suara Gim Eun Oh menegurnya. Gim Eun Oh mendekati Arang dan Ju Wal. Ju Wal memberitahu yang dia sepatutnya menghantar Arang lebih awal tetapi ada sedikit masalah sehingga membuatkan dia terlewat menghantar Arang balik. Arang yang bengang dengan Gim Eun Oh terus berlalu. Gim Eun Oh mengejar Arang.

Arang marah kerana Gim Eun Oh merahsiakan tentang Ju Wal dari pengetahuannya. Gim Eun Oh berkata itu hanya perkara remeh dan tidak berkesempatan untuk memberitahu setelah Arang dihidupkan semula. Arang memanggil Gim Eun Oh sebagai lelaki hipokrit. Dia tidak akan memberikan maklumat tentang ibu Gim Eun Oh lagi. Gim Eun Oh geram dengan sikap Arang itu.

Gim Eun Oh terpandang ketiga-tiga orang pegawainya. Dia memanggil mereka. Dia bertanya adakah mereka berbuat sesuatu yang tidak disuruhnya. Mereka berkata yang mereka hanya menurut perintah Lord Choe supaya membakar semua tulang-tulang dan barangan yang digali itu. Mereka berkata Lord Choe sangat berpengaruh di situ. Setiap kata-katanya adalah undang-undang bagi penduduk di Miryang itu. Mereka meminta Gim Eun Oh berbaik dengan Lord Choe bagi memudahkan segala urusan. Gim Eun Oh bertambah geram dan meminta mereka bertiga memanggil Lord Choe berjumpa dengannya dan menyuruh mereka bertiga menyediakan pakaian rasmi Magistrate kepadanya.

Dol Soe kehairanan melihat Arang pulang dalam keadaan sihat. Tidak mengalami sebarang kecederaan langsung. Setidak-tidaknya adalah tulang yang patah kerana dia betul-betul pasti yang Arang terjatuh dari atas gunung itu. Dol Soe yakin yang Arang bukan manusia. Dia syak yang tuannya telah dirasuk oleh Arang supaya sentiasa dengannya. Dia terfikir untuk meminta bantuan Bang Ool tetapi dia berasa malu dengan perbuatannya yang menyapu mulut Bang Ool dengan ibu jarinya dahulu.

Mu Yeong mula terfikir sesuatu. Dia begitu yakin yang pembuat onar itu bukanlah Mu Yeon. Jade Emperor menegurnya dan memberikannya secawan teh. Dia bertanya adakah King Yama masih dalam kedaan marah dan membuat keputusan melulu dan membebankan roh yang tidak bersalah. Mu Yeong menidakkan kata-kata Jade Emperor itu. Jade Emperor menyuruh Mu Yeong minum teh itu dan memberitahunya apakah rasanya. Mu Yeong memberitahu yang dia kurang pasti. Jade Emperor memberitahu yang dia membuat teh itu dari bunga-bungaan di belakang kambingnya. Teh itu dibuat sendiri olehnya untuk menentukan mood seseorang. Tapi Mu Yeong tidak pasti maknanya dia telah gagal mencipta teh yang diingininya.


Lady menunggu Ju Wal di biliknya. Ju Wal yang masuk ke dalam biliknya terkejut apabila mendapati Lady menunggunya di situ. Lady bertanya kenapa Ju Wal masih belum membawa Arang bertemu dengannya. Adakah Ju Wal tidak mempercayainya. Ju Wal meminta maaf kerana belum berjaya memenuhi permintaan Lady itu. Lady bagai dapat membaca fikiran Ju Wal. Dia tahu yang Ju Wal mahukan penjelasan kenapa dia mahukan Arang. Lady berterus-terang dengan Ju Wal yang Arang tidak boleh mati. Itu yang diperlukannya selama ini. Tidak ada apa yang boleh membunuhnya jika dia dapat memiliki tubuh Arang.

Ju Wal terkejut dengan kata-kata Lady itu. Dia mahukan Ju Wal membantunya mendapatkan Arang. Sekiranya dia mendapat tubuh Arang, Ju Wal tidak perlu lagi mendapatkan darah dan roh gadis lagi. Ju Wal bertanya apa akan terjadi kepadanya setelah Lady mendapat tubuh Arang. Adakah dia sudah tidak diperlukan oleh Lady lagi. Lady berjanji tidak akan mensia-siakan Ju Wal. Dia menganggap Ju Wal seperti anaknya sendiri. Dia mahu Ju Wal memanggilnya ibu apabila dia dapat memiliki tubuh Arang.

Ju Wal bersetuju untuk membantu Lady mendapatkan Arang. Lady mahu Ju Wal menjadi kekasih Arang. Pastikan Arang jatuh ke tangan Ju Wal dan Arang pasti akan menceritakan dengan sendirinya apakah yang dimahukan olehnya sehingga dia wujud di situ.



Lord Choe bersetuju untuk berjumpa dengan Gim Eun Oh. Dia mahu melihat apa yang mahu dilakukan oleh Gim Eun Oh. Dia akan menggunakan segala maklumat yang dia perolehi itu untuk menundukkan Gim Eun Oh. Persiapan untuk menyambut kedatangan Lord Choe dilakukan oleh ketiga-tiga pegawai kerajaan itu.

Ju Wal berjumpa dengan Arang. Gim Eun Oh yang melihat kedatangan Ju Wal mulai tertanya-tanya. Dia mengekori Ju Wal. Dia melihat Arang yang baru keluar dari biliknya berbual mesra dengan Ju Wal. Ju Wal mengajak Arang keluar bersiar-siar. Arang bersetuju dengan perlawaan Ju Wal itu. Gim Eun Oh yang mendengar perbualan Arang dengan Ju Wal itu berasa geram dengan penerimaan Arang.


Pertemuan di antara Magistrate Gim Eun Oh dan Lord Choe berlaku di dalam suasana yang tegang. Masing-masing ada agenda tersendiri. Lord Choe bertanya kenapakah Gim Eun Oh mahu berjumpa dengannya. Gim Eun Oh berkata itu bukan perjumpaan tetapi satu perintah. Bersambung ....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Seo
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama

* Episod kali ni lebih mencabar ... pertelingkahan demi pertelingkahan ... Arang geram dengan Gim Eun Oh yang tidak memberitahunya pasal Ju Wal .... sejak itu Arang tak mahu bercakap dengan Gim Eun Oh ... dia sengaja menerima pelawaan Ju Wal yang mahu berjalan-jalan dengannya ... Gim Eun Oh marah dengan Lord Choe sebab menghapuskan semua bukti yang diperolehinya ... Lord Choe pulak nak peras ugut Gim Eun Oh dengan latar belakang Gim Eun Oh yang anak luar nikah ... seee ... mencabar kannnn ... esok buat sambungan episod 9 pulak ... cepat buat cepat habis kannnn ... hehe 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...