Wednesday, November 21, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 15'


Arang And The Magistrate
Episod 15


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 14 ....

Setelah menewaskan roh jahat milik Lady, Gim Eun Oh bersama Mu Yeong masuk ke dalam kuil. Gim Eun Oh melibaskan kipasnya dan papan penutup ruang bawah tanah itu terbuka. Mu Yeong memandang kipas yang dipegang oleh Gim Eun Oh. Gim Eun Oh perasan akan pandangan Mu Yeong itu. Dia memberitahu yang kipas itu diberikan oleh guru yang mengajarnya seni mempertahankan diri. Mu Yeong memberitahunya yang guru Gim Eun Oh adalah Jade Emperor dan Mu Yeong terus berlalu menuju ke ruang bawah tanah itu. Gim Eun Oh terkejut dan berlari mengejar Mu Yeong.

Tiba di ruang bawah tanah, Gim Eun Oh mahu memarahi Mu Yeong tapi terhenti apabila terpandang Lady. Dia melihat Lady seperti dia kenal akan wanita itu. Dia terkejut apabila mendapati Lady itu adalah ibunya yang di cari sekian lama. Mu Yeong mengeluarkan pisau yang diberi oleh Jade Emperor kepadanya.


Gim Eun Oh melihat perbuatan Mu Yeong dengan penuh tanda tanya. Mu Yeong mahu menikam ibu Gim Eun Oh. Gim Eun Oh menghalang perbuatan Mu Yeong itu. Gim Eun Oh tidak tahu yang di dalam badan ibunya itu adalah adik Mu Yeong, Mu Yeon. Setelah melihat kesungguhan Gim Eun Oh mempertahankannya, Lady mengeluarkan roh jahat miliknya supaya dapat menghalang Mu Yeong dari mendapatkan dirinya.


Sewaktu mereka berdua, berlawan dengan roh jahat milik Lady itu, Lady mengambil kesempatan untuk melarikan diri. Apabila dia sampai ke atas, kebetulan Ju Wal baru  memasuki kuil itu. Lady mengarahkan Ju Wal membawanya keluar dari kawasan itu. Tiba-tiba Ju Wal terdengar suara jeritan Gim Eun Oh yang memanggil ibunya. Ju Wal terkejut tetapi dia menurut sahaja arahan Lady untuk keluar dari situ.


Setelah berjaya menewaskan roh jahat milik Lady, Gim Eun Oh naik ke atas dengan harapan dia dapat menemui ibunya tetapi ibunya sudah tiada di situ. Dia keluar dan mencari di dalam bilik Lady tetapi tiada sesiapa di situ. Dia terus keluar dan mencari di kawasan luar tetapi tidak berjumpa dengan ibunya itu.

Mu Yeong menarik kesemua roh jahat milik Mu Yeon ke dalam tongkatnya. Setelah yakin tiada apa yang tinggal, Mu Yeong terus menghilangkan diri dari situ. Lord Choe yang terdengar suara bising-bising di situ, bergegas ke tempat itu. Dia terkejut mendapati ada ruang bawah tanah di kawasan rumahnya itu. Dia tertanya-tanya kenapakah Lady melarikan diri dari situ. Dia pasti sesuatu telah terjadi kepada Lady itu sehingga Lady menyembunyikan dirinya.

Ju Wal membawa Lady ke sebuah pondok di atas bukit. Ju Wal menyembunyikan Lady di situ.


Arang masih tertanya-tanya, kenapa semua roh mahukan tubuhnya. Dia keliru apakah sebenarnya dirinya. Bukankah dirinya akan hilang apabila tiba waktunya. Kemudian dia teringat kipas yang digunakan oleh Gim Eun Oh untuk menghapuskan roh jahat. Dia tertanya-tanya apakah sebenarnya kipas itu. Benarkah guru Gim Eun Oh yang memberikan kipas itu kepadanya. Simbol pada kipas itu bagai biasa dilihatnya tetapi dia tidak ingat di mana dia melihat simbol itu. Tiba-tiba dia teringat simbol itu adalah simbol ke dunia selepas kematian. Bomoh Bang Ool pernah menggunakan simbol itu untuk membantunya menggugut Mu Yeong dahulu.

Arang bergegas ke bilik Gim Eun Oh. Dia mahu mencari kipas itu. Dia mahu memastikan adakah simbol pada kipas itu sama dengan simbol untuk ke dunia selepas kematian itu. Puas dia mencari kipas itu tetapi tidak berjumpa. Dia yakin yang kipas itu dibawa oleh Gim Eun Oh. Kerana Gim Eun Oh menggunakan kipas itu sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya. Arang terjumpa cucuk sanggul milik ibu Gim Eun Oh. DIa melihat cucuk sanggul itu. Dia yakin segalanya bermula dengan cucuk sanggul itu. Sekiranya dia tidak memakai cucuk sanggul itu, sudah tentu Gim Eun Oh tidak mahu membantu dirinya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Dia tahu yang cucuk sanggul itu juga adalah pemberian guru Gim Eun Oh, sama dengan kipas itu. Arang  mulai tertanya-tanya siapakah guru Gim Eun Oh itu.


Sedang dirinya tertanya-tanya, Gim Eun Oh masuk ke dalam biliknya. Keadaan Gim Eun Oh yang lemah dan tidak bermaya itu membimbangkan Arang. Dia bertanya kenapa Gim Eun Oh berkeadaan begitu. Gim Eun Oh memberitahu yang dia sudah berjumpa dengan ibunya. Arang terkejut. Dia bertanya di mana dan bagaimana Gim Eun Oh menjumpai ibunya. Kenapa Gim Eun Oh tidak membawa ibunya bersamanya. Gim Eun Oh meminta maaf kepada Arang kerana dia mahu berehat ketika itu dan mahu Arang keluar dari bilik itu. Arang melihat Gim Eun Oh yang sudah menutup matanya tanda dia tidak mahu diganggu. Arang keluar dari bilik Gim Eun Oh. Niatnya mahu bertanyakan tentang cucuk sanggul itu tidak kesampaian. Di biliknya, Arang tertanya-tanya, kenapa Gim Eun Oh berkeadaan begitu. Bukankah Gim Eun Oh memang mahu berjumpa dengan ibunya. Apakah yang sebenarnya terjadi pada Gim Eun Oh dan ibunya itu.


Ju Wal bertanya kepada Lady apa sebenarnya yang terjadi. Lady memarahi roh badan yang ditumpangnya itu kerana mahu menolaknya keluar sewaktu bertentang mata dengan Gim Eun Oh. Dia juga memarahi Ju Wal kerana gagal mendapatkan dirinya roh pada bulan mengambang yang lalu. Kerana itu kekuatannya menjadi lemah sebgitu. Ju Wal berkata yang dia mendengar Gim Eun Oh memanggilnya ibu, adakah Lady itu adalah ibu kepada Gim Eun Oh. Lady menjawab yang tubuh wanita yang ditumpanginya ini adalah ibu Gim Eun Oh. Ju Wal bertanya lagi, apakah sebenarnya Lady itu. Lady memberitahu Ju Wal yang dirinya adalah Mu Yeon, pari-pari dari syurga. Ju Wal terkejut mendengar kata-kata Lady itu.

Mu Yeong berjumpa dengan King Yama. Dia memberitahu yang dia gagal menikam Mu Yeon dengan pisau yang diberikan Jade Emperor kepadanya. King Yama memberitahu yang Mu Yeong tidak boleh membunuh atau mencederakan manusia. Mu Yeong hanya boleh menikam Mu Yeon setelah Mu Yeon keluar dari badan manusia itu. Mu Yeong bertanya kenapa Jade Emperor memberikannya pisau itu kepadanya. King Yama memberitahu yang Jade Emperor hanya mahu menguji Mu Yeong sahaja. King Yama memberitahu yang dirinya amat percayakan Mu Yeong tetapi Mu Yeong telah menghancurkan kepercayaannya. Dia berkata Jade Emperor telah menyiapkan diri Gim Eun Oh untuk menghapuskan Mu Yeon. Mu Yeong harus menunggu sahaja langkah yang diambil oleh Gim Eun Oh.


Arang terjaga dari tidurnya apabila terdengar suara memanggil namanya. Dia mencari arah datangnya bunyi itu. Dia yakin bunyi itu dari bilik yang dihuni oleh Lee Seo Rim dahulu. Apabila dia masuk ke dalam bilik itu, dia terlihat pengasuh Lee Seo Rim berada di situ. Dia melihat ada kesan tikaman di dada pengasuh Lee Seo Rim dan dia mahu pengasuh itu menceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Pengasuh Lee Seo Rim memberitahunya yang itu adalah perbuatan Lord Choe. Lord Choe mengarahkan orang suruhannya, Geo Deol membunuhnya selepas dia memastikan yang Arang adalah Lee Seo Rim. Arang terkejut. Dia hairan bagaimana Lord Choe dapat mengenali dirinya. Pengasuh Lee Seo Rim memberitahu yang dahulu Lee Seo Rim begitu tertekan sewaktu Lord Choe mahu memutuskan pertunangannya dengan Ju Wal. Lee Seo Rim tidak mahu makan dan hanya pergi ke tempat pertama kali dia bertemu dengan Ju Wal dengan harapan dia dapat bertemu dengan Ju Wal. Arang terkejut dengan berita itu. Dia memberitahu pengasuhnya itu yang dia akan menuntut keadilan untuk pengasuhnya itu. Pengasuhnya memberitahu di mana mayatnya berada dan bukti siapakah pembunuhnya.


Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Dia tertidur dalam keadaan duduk sepanjang malam. Arang datang menemuinya. Dia terkejut melihat Gim Eun Oh tidur dalam keadaan begitu. Pertanyaan Arang tidak dijawab oleh Gim Eun Oh. Dia merasakan belum masanya untuk memberitahu Arang mengenai perkara itu. Dia berjanji akan memberitahu segalanya kepada Arang apabila dia sudah bersedia nanti.

Lord Choe membakar mentera yang diberikan oleh Lady untuk menyembuhkan penyakitnya buat selama-lamanya. Dia gembira kerana selepas ini dia tidak perlu bergantung dan menurut arahan dari Lady itu lagi. Dia sudah bebas dari kongkongan Lady. Dia boleh menjalankan kehidupannya dengan cara dan kemahuannya sendiri.

Mu Yeon mulai merasakan yang tubuh yang di tumpangi itu mulai menolak dirinya setelah pertemuan dengan Gim Eun Oh. Dia marah dengan situasi itu. Dia harus mendapatkan tubuh Arang secepat mungkin.

Gim Eun Oh pergi lagi ke kuil di rumah Lord Choe. Dia bertanya apakah yang dibuat ibunya di tempat yang sebegitu. Sedang Gim Eun Oh tertanya-tanya, Lord Choe muncul dan dia terkejut apabila mendapati Gim Eun Oh berada di situ. Gim Eun Oh bertanya ke manakah Lady itu pergi. Lord Choe memberitahu yang dia tidak tahu ke manakah Lady menyembunyikan dirinya. Dan dia juga memberitahu yang dia tidak tahu apakah yang dibuat oleh Lady di tempat itu kerana dia tidak pernah masuk ke dalam kuil ini.


Lord Choe mengarahkan Geo Deol membawa orang-orangnya supaya berkawal di rumahnya dan tidak membenarkan orang luar memasuki rumahnya dengan sesuka hati.

Bang Ool sering mengalami mimpi ngeri sehingga menyebabkan dirinya ketakutan. Dia mengadu pada nenek moyangnya tentang ketidakadilan itu. Dia tidak dapat melihat hantu, cuma dapat mendengar sahaja. Tiba-tiba dia seperti terperasan ada seseorang di sebelahnya. Dia menoleh dan terkejut apabila mendapati ibunya duduk di situ. Dia bertanya adakah benar itu ibunya. Bukankah ibunya telah lama meninggal dunia. Ibunya mahu Bang Ool menyediakan bossam (daging yang dimakan dengan kimchi) pada hari memperingati kematiannya. Bang Ool tidak dapat mendengar apa yang diperkatakan oleh ibunya itu sehingga ibunya menjadi marah dengan dirinya.

Arang memberitahu yang ibunya mahukan Bang Ool menyediakan bossam pada hari ulangtahun kematianya. Bang Ool terkejut dengan kata-kata Arang itu. Dia tidak menyangka yang Arang berkemampuan melihat dan mendengar hantu. Arang pula terkejut apabila mendapat tahu yang Bang Ool sudah dapat melihat hantu. Kerana sebelum ini Bang Ool hanya dapat mendengar sahaja. Bang Ool mulai terperasan sesuatu yang dia dapat melihat tetapi sudah tidak dapat mendengar lagi.


Arang menenangkan Bang Ool. Dia mengambil buku di atas meja Bang Ool. Dia mencari-cari sesuatu. Apabila terjumpa simbol yang ada pada kipas Gim Eun Oh dia bertanya apakah simbol itu kepada Bang Ool. Bang Ool memberitahunya itulah simbol yang dia gunakan dulu untuk ke dunia selepas kematian. Itu juga simbol Jade Emperor. Fahamlah Arang yang barangan itu adalah dari Jade Emperor cuma dia perlu lebih kepastian dari Gim Eun Oh.


Gim Eun Oh datang ke rumah Bang Ool. Bang Ool terkejut melihatnya. Dia memberitahu yang Arang baru sahaja datang berjumpa dengannya. Gim Eun Oh bertanya bagaimanakah cara untuk menyelamatkan tubuh orang yang dimasuki roh sesuatu. Bang Ool merujuk kepada buku peninggalan nenek moyangnya. Menurut buku itu, roh tubuh yang dirasuk itu tidak mati tetapi tiada bezanya dengan mati kerana tubuhnya dikawal sepenuhnya oleh roh yang merasuk tubuhnya itu. Gim Eun Oh bertanya adakah cara untuk mengembalikan tubuh tersebut kepada empunya diri. Bang Ool memberitahu yang tiada cara untuk itu.


Ju Wal memberitahu Lord Choe yang Lady itu sebenarnya adalah pari-pari dari syurga dan tubuh wanita yang ditumpanginya itu adalah kepunyaan ibu Magistrate Gim Eun Oh. Lord Choe terkejut dengan berita yang dibawa oleh Ju Wal itu. Lord Choe bertanya adakah Ju Wal yang menyembunyikan Lady. Ju Wal hanya mendiamkan dirinya sahaja.


 Ju Wal meminta pembantunya menjaga Lady yang sedang sakit. Ju Wal menyuruhnya kerana percaya padanya. Pembantunya memberitahu yang dia tahu apa yang berlaku di dalam rumah itu. Dia juga tahu tentang perbuatan Ju Wal pada setiap kali bulan mengambang tiba. Ju Wal terkejut dengan kata-kata pembantunya itu. Pembantunya itu juga memberitahunya yang Lady itu juga dia yang membawa masuk ke dalam rumah itu. Dahulunya, wanita itu pernah memasukkan racun ke dalam makanan Lord Choe. Dia ditangkap dan mahu di hukum mati. Tiba-tiba keesokkan harinya, wanita itu tinggal di belakang rumah Lord Choe. Dia tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Ju Wal memberitahu pembantunya yang wanita yang dimaksudkan oleh pembantunya itu adalah ibu kepada Magistrate Gim Eun Oh. Pembantunya terkejut dengan kata-kata Ju Wal itu.


 Arang terserempak dengan Ju Wal di pasar. Ju Wal mengajak Arang minum di sebuah kedai di situ. Arang menyatakan kekesalannya kerana tidak dapat menerima permintaan Ju Wal yang mahukan hatinya. Ju Wal memandang Arang dan minta Arang berjanji kepadanya, walau apa pun yang terjadi, Arang tidak boleh menyerah kalah dan berputus asa dengan kehidupannya. Arang berkata yang dia bukanlah seorang yang mudah menyerah kalah. Ju Wal terdiam mendengar kata-kata Arang itu. Arang mahu memberikan sesuatu kepada Ju Wal dan mengajak Ju Wal ke pejabat Magistrate.


Arang memberikan diari Lee Seo Rim kepada Ju Wal dengan harapan Ju Wal dapat memahami isi hati Lee Seo Rim. Walaupun Ju Wal tidak pernah mengenali dan tidak mempunyai sebarang perasaan pada Lee Seo Rim tetapi tidak Lee Seo Rim. Lee Seo Rim sangat menyintai Ju Wal dan semua itu ada tercatat di dalam diari itu. Ju Wal terdiam dan berasa tidak percaya dengan kata-kata yang diucapkan Arang kepadanya itu.


Gim Eun Oh terlihat Ju Wal keluar dari pejabatnya. Dia mencari Arang dan melihat Arang sedang duduk di luar biliknya. Gim Eun Oh bertanyakan tujuan Ju Wal datang ke situ. Arang memberitahu yang dia memberikan Ju Wal diari milik Lee Seo Rim. Dia mahu Ju Wal membaca diari itu dan dapat menyelami hati Lee Seo Rim.

Gim Eun Oh duduk di sisi Arang. Dia bertanya kenapa Arang memberikan diari itu kepada Ju Wal. Sudahkah Arang memenuhi semua yang berkaitan dengan Lee Seo Rim. Arang mengiyakannya. Gim Eun Oh dan Arang duduk sambil melihat bulan. Tiba-tiba Gim Eun Oh menyandarkan kepalanya di bahu Arang. Arang terkejut dengan perlakuan Gim Eun Oh itu. Gim Eun Oh meminta Arang mengizinkan dirinya begitu untuk sementara waktu. Arang terdiam dan hanya membiarkan sahaja perbuatan Gim Eun Oh itu.


Ju Wal membaca diari milik bekas tunangannya Lee Seo Rim dengan penuh perasaan. Dia begitu teruja untuk mengetahui apakah isi hati Lee Seo Rim terhadapnya.


Orang suruhan Lord Choe, Geo Deol telah membawa beberapa orang yang telah dilatih dengan seni mempertahankan diri untuk menjadi pengawal di rumah Lord Choe. Lord Choe berasa gembira kerana selepas ini pasti tiada orang yang akan dapat memasuki rumahnya sesuka hati lagi.

Arang mundar-mandir di hadapan biliknya. Dia memegang cucuk sanggul milik ibu Gim Eun Oh. Dia mulai teringat sesuatu. Di dalam ingatannya, dia terlihat seorang wanita yang memakai cucuk sanggul seperti itu sedang berjalan ke arah Ju Wal dan Ju Wal membawa wanita itu ke suatu tempat. Dia yakin wanta itu adalah ibu Gim Eun Oh kerana dia memang melihat dengan jelas cucuk sanggul yang dipakai oleh wanita itu. Dia tertanya-tanya kenapa Ju Wal mendahului wanita itu dan ke mana kah Ju Wal mahu membawa wanita itu.


Gim Eun Oh yakin Lord Choe pasti tahu sesuatu mengenai ibunya. Dia bertemu dengan bekas pembantu rumah Lord Choe. Dia bertanyakan tentang ibunya. Dia diberitahu yang ibunya ada bertanyakan tentang Lord Choe kepada mereka. Sebenarnya bukan mereka baru teringat akan hal itu, tetapi mereka takut untuk memberitahu Gim Eun Oh kerana takutkan Lord Choe akan mengapa-apakan mereka. Gim Eun Oh kesal dengan sikap orang kampung yang terlalu takutkan Lord Choe. Dia berkata bagaimana dia mahu menolong orang kampung sekiranya mereka tidak mahu membantunya. Akhirnya, orang kampung mulai mempercayai kekuatan yang ada pada Gim Eun Oh dan berjanji akan membantu Gim Eun Oh apabila mereka bersedia nanti.


Gim Eun Oh menyuruh Dol Soe mengirimkan pesanan kepada ayahnya secepat mungkin untuk memberitahu yang ibunya datang ke Miryang untuk mencari Lord Choe. Dia mahu tahu apa perhubungan di antara ibunya dengan Lord Choe. Dia juga meminta Dol Soe menyiasat perbuatan Lord Choe yang menindas dan salah lakunya kepada penduduk kampung.

Arang pergi ke jambatan di mana Lee Seo Rim terlihat Ju Wal dan jatuh cinta padanya. Sedang dia asyik melihat pemandangan di situ, kebetulan Ju Wal datang ke situ juga. Sebenarnya Ju Wal mahu mencarinya untuk memulangkan kembali diari milik Lee Seo Rim itu. Dia tidak berhak menyimpan diari itu dan meminta Arang mengembalikannya ke tempat asal diari itu. Ju Wal hanya mahu mempercayai khabar angin yang didengarinya dan melupakan sahaja kisah itu. Arang bertanya tidaklah Ju Wal berasa hairan dengan kehilangan dan kematian Lee Seo Rim. Ju Wal memberitahunya sekiranya dia mengetahui isi hati Lee Seo Rim dari dulu semestinyalah dia akan mengambil berat tetapi keadaan yang berlaku tidak begitu. Arang bertanya di manakah Ju Wal berada pada bulan mengambang di mana Lee Seo Rim di dapati hilang. Ju Wal menjawab mungkin dia berada di situ sambil melihat permandangan di waktu malam kerana pemandangan di situ sungguh indah pada bulan mengambang. Arang hanya melihat wajah Ju Wal dengan hati yang masih penuh dengan keraguan.


Arang mundar-mandir di atas jambatan itu setelah Ju Wal berlalu meninggalkannya. Dia berharap supaya tiada hubungan di antara Ju Wal dan ibu Gim Eun Oh. Mungkin perjumpaan di antara Ju Wal dengan ibu Gim Eun Oh hanya satu kebetulan sahaja.

Sewaktu Arang mahu meninggalkan tempat itu, tiba-tiba dia teringat di mana tangan Lee Seo Rim menarik cucuk sanggul milik ibu Gim Eun Oh dan berkata supaya jangan meninggalkan dirinya tetapi keduanya tetap berlalu meninggalkan Lee Seo Rim. Arang terpaku dan masih tidak memahami apa yang terjadi pada Lee Seo Rim. Bersambung ....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Soe
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Dah nak habis dah .. hehe ... lagi 5 episod habis lah cite Arang And The Magistrate ni ... makin mendebarkan ... maklum le dah nak sampai ke kemuncak cite ... sian Magistrate ... mak dia rupanya yang di tumpangi pari-pari syurga yang jahat tu ... sekian lama mencari .. sekali jumpa macam tu pulak ... dia dah janji nak hantar Arang pergi syurga ... nak tolong cari siapa pembunuh Arang tapi mak dia pulak yang muncul ... dia pun tak tahu samada mak dia ada kaitan atau pun tidak dengan kematian Arang ... yang si Arang pulak dah banyak teringat kejadian-kejadian yang menimpa dirinya sewaktu dia hidup dulu ... kebanyakkan ingatannya berkait dengan Ju Wal dan ibu Magistrate Gim Eun Oh ... nak tau kesudahannya  ... kena lah tunggu episod akan datang ... huhu ...





0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...