Sunday, November 25, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 18'


Arang And The Magistrate
Episod 18


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 17 ....

Setelah Gim Eun Oh di heret keluar dari pejabatnya, dia diperkenalkan dengan Lord Pak Mun Ho, Gabenor dari daerah Gyeongsang. Lord Pak Mun Ho menuduh Magistrate Gim Eun Oh merancang pemberontakkan besar-besaran dan dia akan mendedahkan perbuatan Gim Eun Oh itu dan akan menjatuhkan hukuman. Dia menyuruh pengawalnya memenjarakan Gim Eun Oh di dalam kurungan. Dol Soe juga dikenakan hukuman yang sama kerana bersubahat dengan Gim Eun Oh.


Gim Eun Oh dan Dol soe dimasukkan di dalam kurungan. Dol Soe tidak puas hati. Dia meminta penjelasan dari Gim Eun Oh apa sebenarnya yang terjadi Pemberontakan apa yang dimaksudkan oleh gabenor itu. Dia yakin mereka diperangkap tetapi siapa yang mahu memerangkap mereka. Gim Eun Oh tahu siapa yang membuat perangkap itu. Dia amat yakin yang orang itu adalah Lord Choe. Dol Soe bertambah berang apabila mendengar nama Lord Choe disebut oleh Gim Eun Oh.


Lord Pak Mun Ho bertanya kepada Lord Choe, adakah semua dakwaannya terhadap Gim Eun Oh itu benar. Lord Choe berkata ianya semua benar. Jika Lord Pak Mun Ho tidak percaya, tengok sahajalah pengawal di pejabatnya yang ramai itu. Tambahnya pula, inilah masanya untuk mereka menjatuhkan keluarga Gim Eun Oh. Lord Choe sememangnya berdendam dengan Gim Eun Bul iaitu ayah Gim Eun Oh yang telah menyebabkan dirinya dibuang ke daerah pendalaman itu. Lord Pak Mun Ho tahu yang dendam Lord Choe pada Gim Eun Bul masih membara. Dia juga tidak sukakan Gim Eun Bul dan kerana itu dia sanggup bekerjasama dengan Lord Choe.


Arang berhadapan dengan Mu Yeon. Mu Yeon bertanya kenapakah Arang mahu berjumpa dengannya. Arang bertanya apakah yang dimahukan oleh ibu Gim Eun Oh sebagai pertukaran dengan tubuhnya itu. MU Yeon memberitahu yang ibu Gim Eun Oh mahu membalas dendam terhadap Lord Choe. Arang kehairanan. Sekiranya ibu Gim Eun Oh mahu membalas dendam terhadap Lord Choe, kenapa Lord Choe masih hidup sehingga ke hari ini. Ibu Gim Eun Oh mahukan Lord Choe hidup menderita di bawah telunjuknya. Di sebabkan Lord Choe sememangnya di bawah kekuasaannya, maka permintaan ibu Gim Eun Oh itu tidak mendatangkan masalah padanya.

Ju Wal mundar-mandir di luar pintu gua itu. Dia tidak sabar menunggu Arang keluar dari gua itu. Akhirnya dia masuk ke dalam gua. Dia terdengar Mu Yeon bertanya kepada Arang, apakah yang Arang mahukan sebagai balasan untuk Arang menyerahkan tubuhnya kepadanya. Adakah Arang mahu membalas dendam kepada pembunuhnya atau Arang mahu melindungi orang yang disayanginya. Arang terkaku dan tidak dapat memberikan jawapan. Serentak dengan itu dia bingkas terus melarikan diri dari situ.


Ju Wal menarik tangan Arang. Dia mahu Arang mengingati kata-katanya dahulu. Walau apa pun yang akan terjadi, Arang tidak boleh menyerah kalah dan berputus asa dengan hidupnya. Arang memandang Ju Wal. Dia berkata kenapa Ju Wal boleh bersama dengan wanita yang sebegitu. Ju Wal tidak menjawab pertanyaan Arang itu. Ju Wal tidak mahu menceritakan apa-apa kepada Arang. Biarlah hanya dia yang tahu sebabnya.

Ju Wal masuk ke dalam gua. Dia duduk di hadapan Mu Yeon. Mu Yeon memberitahunya yang dia tidak perlu membunuh Magistrate Gim Eun Oh. Setelah bertemu dengan Arang, Mu Yeon bertukar fikirannya. Dia tahu apa yang Arang mahukan. Dan dia juga tahu kenapa Ju Wal gagal memiliki hati Arang. Ju Wal terasa sangat marah tetapi dia tidak mempamerkan kemarahannya itu.


Lord Choe sengaja datang bertemu dengan Gim Eun Oh di penjara. Dia sengaja membakar perasaan Gim Eun Oh. Katanya dia sengaja mengurung Dol Soe bersamanya kerana dia tidak mahu Gim Eun Oh mendapatkan bantuan daripada pihak luar. Lord Choe memberitahu Gim Eun Oh apa yang akan terjadi kepada Arang sekiranya dia mati kelak. Arang tidak boleh mati jadi dia tidak akan berada di sisi Gim Eun Oh pada kelahiran akan datang. Lord Choe juga sengaja menyebut tentang datuknya yang mati dibunuh di hadapan ibunya. Gim Eun Oh tidak dapat menahan marah dan mendekati Lord Choe dan menjerit namanya. Lord Choe hanya mentertawakannya. Lord Choe berasa puas kerana yakin kemenangan berpihak kepadanya sama seperti sewaktu dia memerangkap datuk Gim Eun Oh dahulu.


Arang berlari ke tempat kurungan setelah diberitahu yang Gim Eun Oh di tangkap dan kurung kerana di tuduh melakukan pemberontakan. Dia tiba di situ dan kebetulan Bang Ool juga sampai. Gim Eun Oh menyuruh Arang tinggal di rumah Bang Ool untuk sementara waktu. Dia tidak mahu Arang di tangkap oleh Lord Choe. Lord Choe sepertinya mahu berbuat sesuatu terhadap Arang. Gim Eun Oh tidak mahu Lord Choe mempergapa-apakan Arang.


Penduduk kampung Miryang terkejut dengan pemberitahuan yang Magistrate Gim Eun Oh ditangkap kerana mahu melakukan pemberontakan. Mereka tahu yang berita itu adalah palsu. Tetapi mereka tidak boleh membuat bantahan secara terang-terangan kerana mereka tahu siapa yang merancang semua ini. Mereka mengambil keputusan untuk menyiasat dan mencari kebenaran dahulu.


Gim Seo Bang memberitahu Ju Wal yang Gim Eun Oh telah di tangkap kerana dituduh melakukan pemberontakan. Ju Wal terkejut dengan berita itu. Gim Seo Bang juga memberitahunya yang Lord Choe adalah dalang di sebalik tuduhan ke atas Gim Eun Oh itu. Dan hari itu adalah hari soal siasat di adakan. Ju Wal bertanya apakah yang terjadi kepada orang-orang Gim Eun Oh. Gim Seo Bang memberitahu yang Dol Soe telah dipenjarakan bersamanya. Belum habis Gim Seo Bang menerangkan Ju Wal sudah bergegas keluar dari biliknya meninggalkan Gim Seo Bang.


Ramai yang hadir untuk mendengar soal siasat Magistrate Gim Eun Oh. Arang dan Bang Ool berdiri berdekatan dengan 3 orang pegawai Magistrate itu. Lord Choe duduk berdekatan dengan Pak Mun Ho. Ju Wal sampai ke situ dan terpandang Arang. Hatinya lega apabila melihat Arang tidak di apa-apakan.

Gim Eun Oh dibawa keluar. Park Mun Ho membacakan segala pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Kesalahan Gim Eun Oh adalah mewujudkan satu kumpulan pengawal dan melantik golongan bawahan sebagai ketua dalam kumpulannya. Merancang satu pemberontakan kerana urusan peribadinya sendiri. Pak Mun Ho mahu Gim Eun Oh mengaku bersalah di atas setiap pertuduhannya. Gim Eun Oh tidak mahu mengaku bersalah dan sanggup menerima apa hukuman sekiranya benar dia bersalah.


Lord Choe berasa marah dengan perangai Gim Eun Oh tetapi dia tahu bagaimana mahu membuatkan Gim Eun Oh mengaku segalanya. Dia memberi isyarat kepada Geo Deol. Geo Deol membawa Arang kepada Lord Choe. Lord Choe mengambil pedang dan berkata kepada penduduk kampung yang Arang itu adalah hantu sebenarnya. Dia memberitahu yang walau dibunuh beberapa kali pun Arang tidak akan mati. Penduduk kampung semuanya terkejut mendengarnya. Tidak terkecuali ketiga-tiga pegawai Magistrate dan Dol Soe. Ju Wal mahu menyelamatkan Arang tetapi dihalang oleh pengawal Lord Pak Mun Ho. Sewaktu Lord Choe mahu menetak Arang dengan pedang itu, Gim Eun Oh menjerit dengan mengatakan yang dia mengaku untuk setiap pertuduhan yang dituduh ke atasnya itu. Lord Choe masih tidak puas hati. Dia tetap mahu menetak Arang untuk membuktikan kebenaran kata-katanya itu tetapi dia terpaksa beralah apabila Lord Pak Mun Ho mengarahkannya berbuat demikian.


Ketiga-tiga pegawai Magistrate mulai buntu. Mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lee Bang menyesal kerana berpaling menyokong Magistrate Gim Eun Oh. Dia berharap agar Lord Choe mahu menerima mereka kembali. Tetapi dia dimarahi oleh rakannya yang lebih tua darinya. Dia berkata sepatutnya mereka bersatu dan memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan Magistrate Gim Eun Oh. Akhirnya mereka sepakat untuk memberitahu perkara itu kepada ayah Magistrate Gim Eun Oh iaitu Lord Gim Eun Bul. Mereka memarahi diri masing-masing kerana lambat untuk memikirkan perkara itu.


Hari untuk menjatuhkan hukuman di jalankan. Lord Choe mengambil kesempatan itu untuk menyeksa Gim Eun Oh. Tetapi Gim Eun Oh tidak pernah gentar dengan Lord Choe. Dia tahu siapa yang sebenarnya bersalah dalam hal ini. Orang yang mempunyai askar dan senjata haram adalah Lord Choe sendiri. Dia berkata yang Lord Choe akan menerima hukuman seribu kali ganda dari dirinya kerana membunuh orang yang tidak bersalah dan menindas orang yang miskin dan dalam kesusahan. Lord Choe tidak dapat menahan kemarahannya dan membelasah Gim Eun Oh semahu-mahunya.


Sedang Lord Choe begitu teruja membelasah Gim Eun Oh, mereka dikejutkan dengan kedatangan Lord Gim Eun Bul iaitu ayah kepada Gim Eun Oh. Lord Gim Eun Bul memandang Lord Choe dan berkata Lord Choe mempergunakan Lord Park Mun Ho untuk menjayakan rancangan jahatnya itu. Lord Choe menuduh Lord Gim Eun Bul bersubahat dengan Gim Eun Oh untuk melakukan pemberontakkan itu. Dia mahukan Lord Park Mun Ho bersedia untuk membuat pertuduhan ke atas Lord Gim Eun Bul juga.

Lord Gim Eun Bul memerintahkan Lord Park Mun Ho bersedia menerima perintah dari Raja mereka. Menurut surat perintah itu, Lord Park Mun Ho harus membebaskan Magistrate Gim Eun Oh. Perlantikan pengawal dan pegawai adalah dibawah bidang kuasanya tidak kira dari segi kedudukan atau keturuan sekali pun. Mereka juga mendapati Gim Eun Oh menjalankan tugasnya dengan baik dan semua penduduk Miryang amat menghormati dan menyayanginya. Semenjak Magistrate Gim Eun Oh memulakan tugas di situ, keadaan Miryang bertambah aman dan penduduk dapat hidup dengan tenang.


Akhirnya, Gim Eun Oh dan Dol Soe dibebaskan dari tuduhan merancang pemberontakkan kerana tiada bukti yang kukuh yang menjurus ke arah itu. Lord Choe bengang kerana rancangannya untuk menghapuskan Gim Eun Oh tidak kesampaian. Sebaik di bebaskan, masing-masing berasa lega dan saling berpelukan.


Lord Gim Eun Bul mahukan Gim Eun Oh membuat laporan terperinci segala kegiatan Lord Choe yang menyalahi undang-undang. Gim Eun Oh mahu menyelidik dengan lebih lanjut lagi sebelum berbuat demikian. Juga dia mahu mencari kebenaran tentang ibunya. Tetapi dia tidak menceritakan apa yang terjadi kepada ibunya. Ayahnya mahukan dia lebih memahami hati orang lain kerana hati sememangnya sukar dibaca dan dijangka.


Arang bersendirian di dalam biliknya. Dia mulai merasakan yang kehidupan Gim Eun Oh lebih bermakna dari dirinya. Gim Eun Oh mempunyai ibu dan ayah selain Dol Soe yang setia bersamanya. Selain di Miryang, di Gimhae juga Gim Eun Oh di kenali orang ramai. Sedangkan dirinya, tiada sesiapa yang akan ingat sekiranya dia pergi atau tidak wujud lagi. Dia teringat kata-kata Mu Yeon. Apakah permintaannya untuk dia menyerahkan kehidupannya kepada Mu Yeon.


Sedang Mu Yeon bersendirian di dalam gua, tiba-tiba dia di serang oleh roh wanita yang ditumpanginya itu. Roh wanita itu menolak roh Mu Yeon dari tubuhnya. Mu Yeon terpaksa berlawan untuk mempertahankan dirinya di dalam tubuh wanita itu. Mu Yeong tahu tempat persembuyian Mu Yeon. Dia juga tahu yang Mu Yeon sudah semakin lemah. Mu Yeong menghampiri Mu Yeon. Mu Yeon memanggilnya abang (orobeoni). Mu Yeon meminta Mu Yeong membantunya. Mu Yeong hanya mendiamkan dirinya. Seketika kemudian, Mu Yeong meninggalkan Mu Yeon.


Magistrate Gim Eun Oh berterima kasih kepada ketiga-tiga pegawainya yang membantunya semasa dia menghadapi kesusahan. Kepada Dol Soe, Magistrate Gim Eun Oh mengarahkannya bersiap-sedia untuk penangkapan Lord Choe bersama orang suruhannya Geo Deol. Dol Soe sudah tidak sabar untuk menghapuskan Lord Choe yang pada pandangannya terlalu banyak menyusahkan penduduk Miryang dan dirinya juga.


Pengawal Magistrate Gim Eun Oh berlawan dengan pengawal Lord Choe. Dol Soe mengarahkan orang-orangnya menahan semua yang berada di rumah Lord Choe. Geo Deol memberitahu Lord Choe tentang kedatangan Magistrate Gim Eun Oh dan memaksa Lord Choe melarikan diri dari situ tetapi Lord Choe tidak mahu lari dengan tangan kosong. Dia mengambil semua harta yang dimilikinya dan memasukkannya ke dalam kotak. Sementara Ju Wal pula sempat melarikan diri dari situ apabila pembantunya Gim Seo Bang menyuruhnya berbuat begitu.


Magistrate Gim Eun Oh masuk ke dalam bilik Lord Choe. Dia melihat Lord Choe sudah bersedia untuk melarikan diri dengan kesemua hartanya. Lord Choe terkejut apabila melihat kedatangan Gim Eun Oh. Gim Eun Oh menyuruh orang-orangnya membawa Lord Choe ke pejabatnya dan dikurung di situ sementara.


Lord Choe di masukkan ke dalam kurungan di pejabat Magistrate dan semua senjata dan keperluan makanan di rumah Lord Choe di rampas. Hasil rampasan itu dibahagikan kepada semua penduduk kampung. Penduduk kampung sangat gembira dengan keadaan itu. Dan yang lebih mengembirakan mereka, Lord Choe sudah ditangkap dan mereka tidak perlu hidup dalam ketakutan lagi.


King Yama dan Jade Emperor memerhatikan segalanya dari atas. King Yama berkata itulah kesudahan sikap manusia yang tamatkan kekayaan. Impian terlalu tinggi sehingga lupa segalanya. Jade Emperor berkata kadang-kadang manusia yang mempunyai cita-cita ini bagus, kerana mereka boleh memajukan diri mereka sendiri. Jadi, tugas mereka tidaklah berat sangat. King Yama bersetuju dengan pandangan Jade Emperor itu.


Setelah keadaan kembali reda, Ju Wal pulang semula ke rumahnya. Dia masuk ke bilik Lord Choe. Dia melihat emas dan harta Lord Choe bergelimpangan di dalam bilik itu. Sedang dia leka memerhatikan sekitar bilik itu, Gim Eun Oh menegurnya dari belakang. Gim Eun Oh tahu yang Ju Wal adalah orang yang menyembunyikan Mu Yeon. Dia bertanya apakah hubunganya dengan Mu Yeon dan bagaimana Mu Yeon boleh masuk ke dalam tubuh ibunya.


Ju Wal memberitahu Gim Eun Oh yang Mu Yeon mahukan tubuh Arang dan dia dapat merasakan yang Gim Eun Oh tahu akan hal itu. Dia juga memberitahu Gim Eun Oh yang Arang ada berjumpa dengan Mu Yeon. Mu Yeon pasti tidak akan melepaskan Arang sekiranya dia tahu apa yang Arang ingin kan sebagai balasan untuk dia menyerahkan tubuhnya. Ju Wal berpesan kepada Gim Eun Oh supaya memastikan yang Arang tidak menyerah kalah dan sanggup berkorban untuk kepentingan Gim Eun Oh.

Gim Eun Oh begitu terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Ju Wal. Dia balik ke pejabatnya dan kebetulan dia terpandang Arang di situ. Dia mengajak Arang masuk ke biliknya. Dia bertanya adakah Arang pergi berjumpa dengan Mu Yeon tanpa pengetahuannya. Arang mengiyakannya. Gim Eun Oh memarahinya dan menyuruh Arang melupakan sahaja walau apa pun niatnya. Arang hanya mahu menyelamatkan ibu Gim Eun Oh. Selama ini dia tidak berpeluang untuk melakukan apa-apa kepada Gim Eun Oh yang telah banyak berkorban untuknya. Jika dia ke syurga, dia akan melupakan Gim Eun Oh tetapi jika dia ke neraka Gim Eun Oh tidak akan ingat padanya. Lebih baik dia menyerahkan tubuhnya pada Mu Yeon, sekurang-kurangnya dia dan Gim Eun Oh akan mengingati semua kenangan antara mereka berdua. Gim Eun Oh berkata itu menunjukkan yang dia adalah seorang yang pengecut dan berharap kepada orang yang tidak berupaya untuk melakukan tugas yang sepatutnya dia lakukan. Selepas menuturkan kata-kata itu, Gim Eun Oh keluar dari biliknya meninggalkan Arang keseorangan di situ.


Gim Eun Oh bengang dengan Arang. Dia menghabiskan masa dengan minum minuman keras di kedai minuman. Hatinya sakit apabila mengetahui apa yang dilakukan oleh Arang tanpa pengetahuannya.

Arang sudah berfikri masak-masak. Ini adalah keputusannya. Dia tidak akan berganjak dari keputusannya walaupun dia tahu Gim Eun Oh tidak bersetuju dengan caranya. Dia berharap lambat-laun nanti, Gim Eun Oh akan faham dan dapat menerima keputusanya. Dia menulis nota kepada Ju Wal menyatakan keputusannya itu.


Ju Wal membaca nota pemberian Arang itu. Hatinya geram dengan keputusan Arang untuk menyerahkan tubuhnya kepada Mu Yeon. Dia cemburu sebenarnya kerana Arang sanggup mengadaikan kehidupannya hanya kerana perasaan cinta dan sayang pada Gim Eun Oh. Arang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan Gim Eun Oh. Dirinya tidak dipandang oleh Arang sedangkan Arang tahu Ju Wal juga mencintai Arang. Dia merenyukkan nota pemberian Arang itu.


Arang memasak makanan untuk Gim Eun Oh. Selama ini dia tidak pernah memasak makanan untuk Gim Eun Oh. Dia mahu melakukannya sebelum dia pergi kepada Mu Yeon. Dia mahu Gim Eun Oh merasa masakannya.



Arang memanggil Gim Eun Oh untuk makan bersamanya. Arang memberitahu yang dia mahu Gim Eun Oh makan masakannya kerana masa untuk mereka bersama tidak lama lagi. Bulan mengambang akan tiba tidak lama lagi. Gim Eun Oh masih lagi merajuk dengan perbuatan Arang tempoh hari. Arang menenangkannya dengan mengatakan yang dia akan mengikut kata-kata Gim Eun Oh. Setelah yakin dengan janji Arang itu, barulah Gim Eun Oh mahu makan. Arang hanya memerhatikan Gim Eun Oh. Dia berasa bersalah kerana berbohong dengan Gim Eun Oh. Dia tetap mahu menyerahkan tubuhnya kepada Mu Yeon.


Dol Soe mengajak ketiga-tiga pegawai Magistrate minum bersamanya. Dia mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka bertiga kerana mengutuskan surat memberitahu tentang keadaan mereka kepada Lord Gim Eun Bul. Dia membelanja mereka makan daging dengan kimchi. Lee Bang tidak makan daging kerana daging ada bau yang tidak disukainya. Dol Soe mengajar Lee Bang makan daging dengan caranya. Daging dimakan bersama dengan kimchi akan dapat menghilangkan bau daging dan akan menghasikan rasa yang sedap. Dia menyuapkan ke mulut Lee Bang. Lee Bang yang pada mulanya meragui kata-kata Dol Soe, akhirnya menyukai makanan itu. Dol Soe berharap mereka semua boleh menjalankan kehidupan bersama-sama dan melayan diri masing-masing dengan baik.


Arang berjumpa dengan Bang Ool. Dia mahu meminta pertolongan kepada Bang Ool. Dia mahu Bang Ool menyerahkan sepucuk surat kepada Gim Eun Oh. Dia juga meminta maaf kepada Bang Ool kerana selama ini dia banyak menyusahkan Bang Ool sehingga ke saat yang terakhir seperti ini pun dia masih mahu menyusahkan Bang Ool. Dia berharap Bang Ool akan menjalankan kehidupannya dengan baik. Selepas itu, Arang meninggalkan Bang Ool terpinga-pinga tidak memahami maksudnya. Tiba-tiba dia tersentak apabila menyedari yang Arang ada menyebut saat terakhir. Dia takut sekiranya dia lambat memberitahu Gim Eun Oh tentang surat itu sesuatu akan terjadi kepada Arang.


Bang Ool berlari ke pejabat Magistrate. Dia menyerahkan surat pemberian Arang itu. Dia menyuruh Gim Eun Oh membaca surat itu. Gim Eun Oh membuka dan membaca surat itu. Tahulah dia yang Arang tetap mahu menyerahkan tubuhnya kepada Mu Yeon. Gim Eun Oh bergegas mencari Arang. Dia berlari ke sana ke mari untuk mencari Arang kerana dia tidak tahu tempat persembunyian Mu Yeon.


Arang sampai di tempat yang di janjikan dengan Ju Wal. Dia melihat Ju Wal seakan berat hati untuk membawanya ke tempat Mu Yeon. Jadi dia membuat keputusan untuk pergi sendiri. Ju Wal menarik tangan Arang dan Arang terdorong ke tubuhnya. Tiba-tiba Ju Wal mengingati kembali peristiwa pada malam Lee Seo Rim mati di tikam semasa cuba menyelamatkan dirinya. Dia terpaku. Arang melepaskan dirinya dari Ju Wal dan terus meninggalkan Ju Wal di situ.


Ju Wal baru menyedari yang Arang itu adalah Lee Seo Rim, gadis yang menjadi tunangannya dahulu. Dia melihat Arang berjalan menuju ke tempat persembunyian Mu Yeon. Dia bagai tidak percaya yang Arang itu adalah Lee Seo Rim.

Mu Yeon tahu Arang datang menemuinya. Dia sungguh gembira kerana selepas ini dia tidak perlukan roh manusia untuk membuatkan dia bertahan di dunia manusia itu. Hajatnya akan tercapai dan tiada sesiapa yang akan dapat menewaskan dirinya lagi.

Gim Eun Oh masih tercari-cari kelibat Arang. Dia tidak tahu ke mana Arang telah pergi. Dia berharap agar di sempat bertemu dengan Arang sebelum Arang dapat bertemu dengan Mu Yeon. Bersambung ....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Soe
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Makin lama makin best .. huhu ... tinggal lagi 2 episod nak abis cite Arang And The Magistrate ni ... mendebarkan sungguh episod ni ... Magistrate kena tangkap ... Arang nak kena libas ngan pedang ... nasib baik pegawai magistrate tu cepat beritahu ayah Gim Eun Oh ... kalau tak ... abislah ... padan muka Lord Choe tu ... nak buat dajal kat orang .. akhirnya dia yang kena masuk penjara ... selama ni dia buat kejahatan tak dapat tangkap ... kali ni ... tak de apa yang leh tolong dia dah ... huhu .. yang geram si Arang boleh pulak nak bagi tubuh dia pada Mu Yeon jahat tu ... dia ingat kalau dia bagi tubuh dia, ibu Gim Eun Oh akan dapat diselamatkan ... padahal semua tu tipu muslihat Mu Yeon jek ... Ju Wal dah cakap ... jangan terpedaya dengan kata-kata Mu Yeon tu .. Arang ni lurus .... percaya jek ... geram pulak aku ... hehe

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...