Sunday, July 07, 2013

Sinopsis Cerekarama Bukan Cinta Monyet

Malam tadi tengok cerekarama ... anak-anak ajak gi ngeteh tapi mama tak nak ... kenyang lagi makan mee goreng ... so ... anak-anak gi ngan atuk diaorang ... siap masak lauk untuk makan malam en.suami .. terus ngadap tv .... ngam-ngam tu siap masak kul 10 ... haha ... cam cantik jek kan timeingnya .. ok ... berbalik pada cerekarama malam tadi .. turn cite kelaka ... lakonan Fahrin Ahmad dan Nur Risteena ... best jugak jalan citenya ... tak rugi tengok ... tapi cam gedik jek si heroin nya pada awal-awal cite ... haha .. kisah seorang gadis remaja yang ada perasaan pada abang angkat dia ... frust bila dapat tau yang abang angkat dia dah ada tunang ... tapi tak putus asa ... masih mencuba untuk memenangi hati abang angkat dia .. akhirnya kecewa ... tapi hati wanitanya kembali mekar bila terpandang Alvin, sepupu abang angkat dia ... maka bermula la episod jelos-menjelos ... siapa yang jelos pada siapa ... jeng .. jeng ... jeng ... jooommm layan sinopsis cerekarama Bukan Cinta Monyet hasil garapan aku setelah menonton cerekarama ni malam tadi ... jadi apa yang terpapar di sini adalah hasil dari pemahaman aku sendiri .. tak de ceduk dari mana-mana sumber ... sekian .. terima kasih ...


Sinopsis oleh : aznanie

Nurul Suhana baru menamatkan zaman persekolahannya. Baru selesai menduduki peperiksaan SPM. Kepulangan Kamal Ilham dari luar negara mengusik hati remajanya. Walaupun Kamal Ilham adalah anak angkat ibunya, itu tidak menghalang mekarnya perasaan aneh dalam hati Nurul Suhana.

Kamal Ilham lebih menyayangi ibu angkatnya dari mamanya sendiri kerana dia beranggapan yang mamanya tidak pernah mengambil berat akan dirinya dan tindakan mamanya menghantarnya ke luar negara adalah untuk memisahkan dirinya dengan ibu angkatnya itu.

Perhubungan di antara Nurul Suhana dengan Kamal Ilham sungguh mesra dan rapat. Ini mengundang rasa kurang senang di hati ibunya. Ibunya tidak mahu Nurul Suhana kecewa kerana padanya Kamal Ilham hanya menganggap Nurul Suhana sebagai seorang adik sahaja. Tetapi Nurul Suhana tidak mengendahkan kata nasihat ibunya itu. Dia yakin yang dirinya tidak bertepuk sebelah tangan.

Namun Nurul Suhana kecewa apabila Kamal Ilham memperkenalkan Annetalia sebagai tunangannya. Annetalia tidak betah berada berlama-lamaan di rumah ibu angkat Kamal Ilham tetapi begitu mesra bersama mama kandung Kamal Ilham. Padanya dirinya lebih sesuai bersama mama Kamal Ilham berbanding ibu angkatnya itu kerana tidak tahan dengan suasana kampung dan rumah yang sempit dan kecik itu. Annetalia jugak berasa yang ibu angkat Kamal Ilham hanya mengambil kesempatan di atas kemewahan yang dimiliki keluarga Kamal Ilham. Itu membuatkan Kamal Ilham berasa berang dan mahu Annetalia tidak beranggapan begitu kepada keluarga angkatnya.

Nurul Suhana berasa kecewa dengan Kamal Ilham. Padanya, Annetalia tidak ikhlas menyintai abang angkatnya itu. Dia mengadu pada kawan baiknya, Anita. Anita menasihatinya supaya melupakan sahaja perasaannya yang pada anggapannya hanya sekadar cinta monyet itu. Nurul Suhana tidak berputus asa. Bermacam-macam cara yang dilakukan agar Kamal Ilham faham akan apa yang dirasakan dalam hatinya.

Annetalia mula mengesyaki yang Nurul Suhana menaruh hati pada Kamal Ilham. Apa tidaknya, memana sahaja mereka pergi pasti Nurul Suhana ada bersama. Pada mulanya, Kamal Ilham tidak mempercayai kata-kata Annetalia tetapi akhirnya dia mengakuinya jugak. Kamal Ilham menerangkan dan menyedarkan Nurul Suhana yang dirinya hanya menganggap Nurul Suhana sebagai adiknya sahaja, tidak lebih dari itu. Nurul Suhana geram dan mulai membenci Kamal Ilham.

Dengan tidak di sangka, rumah ibu Nurul Suhana terbakar. Mereka meminta Kamal Ilham membantu mereka memandangkan mereka tidak punya sesiapa lagi. Kamal Ilham membawa mereka berdua ke rumahnya. Ibu kandung Kamal Ilham menyuruh mereka berdua tinggal bersamanya sementara menunggu rumah mereka siap diperbaiki. Pada mulanya, ibu Nurul Suhana menolak tetapi setelah dipujuk akhirnya mereka berdua mengalah.

Kedatangan Alvin, sepupu Kamal Ilham merubah corak kehidupan Nurul Suhana. Alvin yang pandai berkata-kata dan romantik telah memekarkan kembali cinta di hati Nurul Suhana. Hubungan mereka mulai rapat dan semakin rapat apabila Kamal Ilham mengambil keputusan untuk mempercepatkan perkahwinannya. Nurul Suhana merasakan keputusan Kamal Ilham mahu mempercepatkan perkahwinannya adalah kerana mahukan dirinya berundur dan berputus asa dengan perasaannya.

Kemesraan Nurul Suhana dan Alvin mengundang rasa kurang senang di hati Kamal Ilham. Dia merasakan yang Alvin hanya mahu mempermainkan Nurul Suhana. Ini kerana dia mengenali Alvin sebagai seorang kaki perempuan. Sebagai abang angkat, dia berasakan yang dirinya bertanggungjawab melindungi dan menjaga Nurul Suhana dari dibaham oleh lelaki playboy seperti Alvin.

Kamal Ilham meminta Alvin menjauhkan diri dari Nurul Suhana. Dia tidak mahu Nurul Suhana menjadi mangsa kata-kata manis Alvin. Alvin hanya tersenyum selamba dan meminta Kamal Ilham tidak mencampuri urusannya. Kamal Ilham tidak berpuas hati dan terjadi pertengkaran antara mereka. Kata-kata Alvin telah menyedarkan Kamal Ilham yang sebenarnya ada cinta dihati Kamal Ilham untuk Nurul Suhana. Hanya Kamal Ilham yang tidak menyedarinya dan menafikan perasaannya itu.

Setelah yakin dengan perasaannya, Kamal Ilham berjumpa dengan Annetalia. Dia berterus terang dengan perasaannya dan mahu perkahwinan mereka dibatalkan. Annetalia bengang dan terus menampar Kamal Ilham dan berlalu dari situ.

Nurul Suhana bersetuju untuk mengikut Alvin pulang ke Sabah untuk berjumpa dengan ibu dan bapanya. Ibunya dan mama Kamal Ilham begitu mendesak agar dirinya mengikut Alvin. Itu membuatkan Nurul Suhana berasa sedikit terkejut.

Sesampai di lapangan terbang, Alvin menerangkan kedudukan sebenarnya. Dia sebenarnya tidak berhajat membawa Nurul Suhana bersamanya pulang ke Sabah. Apa yang dilakukan adalah rancangannya untuk menyatukan Kamal Ilham dengan Nurul Suhana tanpa pengetahuannya. Ini semua adalah rancangan mama Kamal Ilham.

Kamal Ilham bergegas ke lapangan terbang apabila diberitahu yang Nurul Suhana akan ke Sabah mengikut Alvin. Dia mencari Nurul Suhana dan berjumpa dengannya. Nurul Suhana memberitahu yang dirinya telah ditinggalkan oleh Alvin. Kamal Ilham mengambil kesempatan itu untuk meluahkan isi hatinya. Nurul Suhana berasa gembira kerana akhirnya cintanya berbalas jua.

Keputusan SPM telah diumumkan. Nurul Suhana mendapat keputusan yang cemerlang dan mahu melanjutkan pelajarannya sedangkan Kamal Ilham mahu mereka berkahwin. Tetapi akhirnya Kamal Ilham bersetuju membenarkan Nurul Suhana menyambung pelajarannya. Pada masa itu, seorang rakan sekolah Nurul Suhana mendekati mereka dan mahu nombor telefon Nurul Suhana tetapi ditolak oleh Kamal Ilham. Nurul Suhana tergelak dan menyatakan yang Kamal Ilham cemburu. Tamat ....

Para pelakon :
Fahrin Ahmad sebagai Kamal Ilham
Nur Risteena sebagai Nurul Suhana
Faradiya sebagai Annetalia
Zain Saidi sebagai Alvin
Ziela Jalil sebagai ibu kandung Kamal Ilham
Kismah Johari sebagai ibu Nurul Suhana


Adaptasi dari novel Bukan Cinta Monyet karya Hasliza Ismail

* Ada babak yang kelaka ... ada yang sedih ... tapi tak banyak yang sedih ... banyak yang kelaka .. tapi lakonan si heroin cam over sikit .. pada pandangan aku la ... hehe ... apa pun semuanya dapat menjiwai watak dengan baik ... lagi-lagi si hero .. biasalah kann ... pelakon berpengalaman ... bukan sikit drama dia lakonkan ... dah banyak ... sampai tak terhitung banyaknya ... pengajaran dari cite ni ... kalau dah jodoh tu tak ke mana ... datang jugak kat kita ... tak perlu dipaksa ... gituuuu ... antara hero ngan heroin ada rasa cinta cuma jarak usia dan cara hidup yang menjarakkan .. eleh semua tu cuma pandangan luaran jek ... kalau dah cinta tu ... semua buleh jadi ... kannn ... hehe ... layan jek la yerrr ... 


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...